Solat sunat rawatib merupakan solat sunat yang dilaksanakan sebelum dan selepas solat fardu. Amalan ini dilakukan bagi melengkapkan ataupun tambahan untuk menampung setiap kekurangan semasa solat fardu dilaksanakan.
Solat sunat rawatib merupakan sunat muakkad iaitu amalan sunat yang amat dituntut dan digalakkan. Orang Islam yang mukallaf adalah dituntut untuk melakukannya secara rela hati serta menurut kemahuannya sendiri.
Sudah pastinya ganjaran pahala dijanjikan Allah SWT kepada hambaNya yang melaksanakan amalan sunat. Allah SWT yang Maha Penyayang juga tidak mengira hambanya berdosa sekiranya ditinggalkan amalan sunat ini.
Sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Ia juga tidak didahului dengan azan ataupun iqamah dan dilaksanakan secara bersendirian (munfarid).
Solat rawatib juga dikenali dengan nama:
- Solat sunat Qabliyyah (solat sunat yang didirikan sebelum solat fardu)
- Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat yang didirikan selepas solat fardu)
Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu sunat muakkad (ditekankan) dan ghairu muakkad (tidak ditekankan).
Sunat Muakkad
Bagi menetapkan jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.
Sahih Muslim (728)
Terdapat juga hadis yang lain dijelaskan yang memperincikan solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadis di atas. Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.
Maksudnya: Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.
Sunan Tirmidzi (380) dan Sunan Ibn Majah (1196)
Manakala melalui riwayat Ibnu ‘Umar R.A pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata:
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.
Sahih al-Bukhari (1180)
Berdasarkan hadis-hadis di atas dapatlah disimpulkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan kedua-dua jumlah rakaat iaitu dua belas mahupun sepuluh rakaat solat sunat rawatib. Perbezaan tersebut adalah disebabkan oleh perbezaan jumlah rakaat ketika melaksanakan solat qabliyah Zohor.
Para ulama Syafi’iyyah secara umumnya telah memilih pandangan bahawa bilangan rakaat rawatib yang mu’akkad ialah sebanyak 10 rakaat. Ini sebagaimana yang termaktub dalam Matan Zubad ibn Ruslan, iaitu antara matan asasi dalam fiqh mazhab Syafi’e:
ثنتان قبل الصبح، والظهر كذا…… وبعده، ومغرب، ثم العشا
Maka kita simpulkan di sini solat-solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah:
- Dua rakaat sebelum Subuh
- Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
- Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
- Dua rakaat selepas Maghrib
- Dua rakaat selepas solat Isya’ (Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 284 dan Matla’ al-Badrain, 1/132)
Sunat Ghairu Muakkad
Solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad pula ialah:
- Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
- Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
- Empat rakaat sebelum Asar
- Dua rakaat sebelum Maghrib
- Dua rakaat sebelum Isya (Rujuk Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 285 dan Matla’ al-Badrain, 1/132-133)
Dalil disyariatkan solat-solat tersebut adalah keumuman sabda Rasulullah SAW:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.
Maksudnya: Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya.
Sahih al-Bukhari (624)
Di samping itu terdapat juga hadis khusus yang meriwayatkan anjuran untuk mengerjakan solat qabliyah Asar sebanyak empat rakaat. Daripada Ibnu ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا.
Maksudnya: Allah SWT mengasihi orang yang mengerjakan solat empat rakaat sebelum Asar.
Sunan Tirmidzi (430)
Berkaitan solat qabliyah Maghrib pula, telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, dia berkata:
كَانَ الْمُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُمْ كَذَلِكَ يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ.
Maksudnya: Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi SAW berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi SAW keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat dua rakaat sebelum (qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah.
Sahih al-Bukhari (625)
Begitu juga dengan solat sunat qabliyah Isya’ disyariatkan melalui sabda Baginda SAW:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.
Maksudnya: Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya.
Sahih al-Bukhari (624) (Rujuk Hasyiyah Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/415)
Cara Melakukan Solat Sunat Rawatib
Solat Sunat Subuh
Niat Solat Sunat Qabliyah Subuh
Solat rawatib di waktu fardu subuh dikerjakan sesudah azan subuh (sebelum iqamat) sebanyak dua rakaat.
Caranya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Lafaz niatnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الصبح رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.
Tidak ada solat rawatib selepas fardu Subuh.
Solat Sunat Zohor
Niat Solat Sunat Qabliyah Zohor
Cara melakukan solat sunat rawatib Qabliyyah di waktu fardu Zohor ialah sesudah azan Zohor dan sebelum iqamat.
Lafaz niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Selesai solat sunat, barulah dikerjakan solat fardu Zohor.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Zohor
Sesudah selesai solat fardu Zohor dan sesudah bacaan wirid dan doa, kita berdiri lagi untuk mengerjakan solat sunat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Zohor yang sunat muakkad.
Lafaz niatnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Cara mengerjakannya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Solat Sunat Asar
Niat Solat Sunat Qabliyah Asar
Cara melakukan sunat rawatib di waktu asar fardu asar ialah sesudah azan asar dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Asar sebanyak dua rakaat.
Lafaz niatnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ العَصْر رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal ‘Asri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala
Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Tidak ada solat rawatib selepas solat fardu Asar.
Solat Sunat Maghrib
Niat Solat Sunat Qabliyah Maghrib
Cara melakukan sunat rawatib di waktu fardu Maghrib ialah sesudah azan Maghrib dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Maghrib sebanyak dua rakaat.
Lafaz niat:
أُصَلِّي سُنَّةَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Maghrib
Selepas solat fardu Maghrib dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakan solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Maghrib.
Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.
Lafaz niatnya ialah:
أُصَلِّي سُنَّةَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat Sunat Isyak
Niat Solat Sunat Qabliyah Isyak
Cara melakukan solat sunat rawatib di waktu fardu Isyak ialah sesudah azan Isyak dan sebelum iqamat.
Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Isyak sebanyak dua rakaat.
Lafaz niatnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Isyak
Selepas solat fardu Isyak dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakanlah solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Isyak.
Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.
Lafaznya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Kelebihan Solat Rawatib
Solat sunat ini sememangnya lebih istimewa berbanding dengan solat sunat yang lain. Untuk makluman solat sunat berfungsi seperti gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.
Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”— Hadis riwayat Tirmizi
Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka”— H.R. Abu Daud & Tirmidzi
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.”— Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi
Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka”— H.R. At-Tabrani
Berikut adalah keajaiban sunat rawatib yang sepatutnya kita berusaha melaksanakan amalannya untuk merebut pahala dan petunjuk kebaikan daripada Allah SWT. Semoga kita diberikan kemanisan iman untuk melakukan amalan-amalan sunat yang sangat baik ini.
Solat juga antara perkara yang paling baik untuk meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga kita. Semoga kita mampu meraih kemanisan melakukan ibadah fardhu dan sunat dengan keikhlasan yang mendalam.
SUMBER: