Spasma Infantil terutamanya terdiri daripada badan melentur ke depan secara mengejut berserta dengan tangan dan kaki mengeras. Sesetengah kanak-kanak pula membengkokkan belakang badan sambil meluaskan tangan dan kaki mereka. Ia merupakan sejenis sawan yang serius dan biasanya muncul pada tahun pertama kelahiran, biasanya apabila bayi berumur 4-8 bulan. Gangguan ini boleh melemahkan bayi kerana berlakunya sawan dengan kerap setiap hari dan sukar dikawal.
Selain itu, masalah ini cenderung berlaku setelah bangun dari tidur atau selepas makan. Ia juga sering berlaku dalam kelompok sehingga 100 kekejangan. Bayi mungkin mendapat berpuluh-puluh kelompok dan beberapa ratus kekejangan setiap hari.
Banyak masalah lain yang mendasari keadaan ini, seperti kecederaan kelahiran, gangguan metabolik dan gangguan genetik yang boleh menimbulkan kekejangan. Jadi, ianya penting untuk mengenal pasti punca asas yang menyebabkan masalah spasma Infantil ini. Bagi sesetengah kanak-kanak, tiada sebab boleh dikenal pasti.
Punca Spasma Infantil
Mana-mana keadaan yang merosakkan otak boleh menyebabkan kekejangan pada kanak-kanak. Ia juga dipanggil sebagai sindrom West. Sesetengah punca berlaku sebelum bayi dilahirkan (prenatal) dan ada juga berlaku selepas kelahiran (postnatal).
Penyebab yang paling biasa adalah keadaan yang diwarisi disebut sebagai sklerosis tuberus kompleks. Ia menjadikan tumor bukan kanser tumbuh di bahagian badan yang berlainan, seperti otak, kulit, buah pinggang atau organ-organ lain. Sekiranya bayi anda mempunyainya, anda mungkin melihat benjolan tidak berwarna pada kulitnya.
Penyebab lain sindrom West termasuklah:
- Kecederaan otak.
- Masalah dengan cara pembentukan otak.
- Perubahan pada struktur otak.
- Kekurangan oksigen pada otak.
- Jangkitan otak.
- Luka pada otak.
- Pendarahan di dalam tengkorak.
- Keradangan pada otak (ensefalitis).
- Gangguan metabolisme.
- Kekurangan Vitamin B.
Simptom Spasma Infantil
Simptom utama kekejangan bayi, yang juga dipanggil sindrom West, adalah sawan dan kekejangan. Ia tidak bertahan lama dan hanya berlaku selama beberapa saat. Kekejangan ini biasa berlaku dalam kelompok yang bererti satu demi satu kejadian akan berlaku.
Seterusnya, kekejangan boleh menjadi ringan atau serius. Bayi anda mungkin mempunyai lebih daripada satu jenis masalah ini. Dalam sawan tahap ringan, bayi mungkin kelihatan seperti dia mengangguk kepalanya manakala bagi sawan yang lebih serius, bayi mungkin mengeras, melepaskan lengannya dan mengangkat lutut ke arah badannya. Lengan dan kakinya juga mungkin meluas keluar ketika dia melemparkan kepalanya. Sesetengah sawan hanya menjejaskan satu bahagian badan. Di samping itu, bayi mungkin akan menangis tepat sebelum atau selepas dia mendapat sawan.
Otot bayi anda mungkin kelihatan seperti bergerak-gerak atau menyentak. Anda mungkin akan mendengar doktor memanggilnya sebagai ‘myoclonus’. Mioklonus mempunyai dua jenis iaitu:
- Mioklonus positif: Bayi menyentak atau bergerak-gerak kerana ototnya tiba-tiba tegang.
- Mioklonus negatif: Otot bayi tiba-tiba menjadi kendur.
Mioklonus adalah luar kawalan. Ini bermakna ia bukan sesuatu yang dilakukan oleh bayi anda. Dia tidak dapat mengawal apabila ia berlaku. Ia kadangkala seperti bergerak-gerak secara tiba-tiba atau menyentak yang anda rasa ketika sedang tidur.
Di samping itu, masalah ini boleh menjejaskan sistem saraf autonomi bayi iaitu bahagian saraf di dalam tubuh yang mengawal perkara yang berlaku secara automatik seperti degupan jantung dan perluasan anak mata. Semasa sawan, bayi anda boleh:
- Berubah menjadi pucat atau kemerahan.
- Berpeluh.
- Mempunyai anak mata yang besar.
- Mata berair.
- Bernafas lebih pantas atau lebih perlahan.
- Mempunyai degupan jantung yang cepat atau lebih perlahan.
Rawatan Spasma Infantil
Tablet Sabril diluluskan untuk kegunaan orang dewasa dengan kombinasi ubat-ubatan lain bagi merawat sawan separa kompleks yang tidak memberi respon secukupnya kepada terapi ubat sebelumnya.
Namun begitu, tablet Sabril tidak dijadikan sebagai rawatan utama bagi sawan. Bahan aktif Sabril pula adalah vigabatrin dan ubat ini tergolong dalam kelas ubat antipileptik.
SUMBER