Now Reading
Sucralfate (Ulser Duodenum) – Kegunaan, Amaran Penggunaan, Kesan Sampingan, Kontraindikasi, Interaksi dan Dos

Sucralfate (Ulser Duodenum) – Kegunaan, Amaran Penggunaan, Kesan Sampingan, Kontraindikasi, Interaksi dan Dos

sucralfate

Pengenalan

Sucralfate digunakan dalam jangka masa pendek (sehingga 8 minggu) untuk merawat masalah ulser duodenum yang aktif. Ia berfungsi terutamanya pada lapisan perut dan tidak diserap sepenuhnya ke dalam badan.

Selain itu, sucralfate melekat pada tempat ulser dan melindunginya daripada asid, enzim dan garam hempedu.

Kegunaan Sucralfate

Ubat ini digunakan untuk merawat dan mencegah ulser di usus. Ia membentuk lapisan di atas ulser, serta melindungi kawasan tersebut daripada kecederaan yang lebih serius.

Ini justeru membantu ulser untuk sembuh dengan lebih cepat.

Cara menggunakan Sucralfate

Ambil ubat secara oral, iaitu biasanya 2 hingga 4 kali sehari, dengan perut kosong sekurang-kurangnya 1 jam sebelum makan, atau seperti yang diarahkan oleh doktor anda.

Kesan sampingan Sucralfate

Sembelit, mulut kering, sakit perut, perut bergas dan loya mungkin berlaku. Sekiranya kesan ini berlanjutan atau bertambah buruk, beritahu doktor atau ahli farmasi anda dengan segera.

Ketahuilah bahawa doktor anda telah menetapkan ubat ini kerana dia telah menilai bahawa faedahnya lebih besar daripada kesan sampingan yang boleh berlaku. Ramai individu yang menggunakan ubat ini tidak mempunyai kesan sampingan yang serius.

Beritahu doktor jika anda mempunyai kesan sampingan yang serius, termasuk rasa kenyang yang tidak normal / berterusan pada perut, loya / muntah / sakit perut terutamanya selepas makan, kesukaran menelan.

Reaksi alergi yang sangat serius terhadap ubat ini mungkin tidak berlaku, tetapi dapatkan rawatan perubatan segera jika ia terjadi. Gejala alergi serius yang mungkin berlaku termasuklah ruam, gatal / bengkak (terutama pada muka / lidah / tekak), pening teruk, kesukaran bernafas.

Langkah Berjaga-jaga & Amaran Penggunaan Sucralfate

Sebelum mengambil sucralfate, beritahu doktor atau ahli farmasi anda jika anda alah kepadanya; atau jika anda mempunyai alahan lain.

Produk ini mungkin mengandungi bahan tidak aktif yang boleh menyebabkan reaksi alergi atau masalah lain. Berbincanglah dengan ahli farmasi anda untuk maklumat lebih lanjut.

Sebelum menggunakan ubat ini, beritahu doktor atau ahli farmasi mengenai sejarah perubatan anda.

Ubat ini mengandungi aluminium, yang biasanya dikeluarkan oleh buah pinggang anda. Oleh itu, orang tua mungkin berisiko lebih tinggi untuk mengembangkan tahap aluminium yang tinggi semasa menggunakan ubat ini dengan produk lain yang memiliki kandungan sama (contohnya., Antasid).

Sekiranya anda hamil, beritahu doktor anda sebelum menggunakan sucralfate. Selain itu, ianya tidak diketahui sama ada ubat ini akan mempengaruhi susu ibu atau tidak. Jadi, rujuk doktor anda sebelum menyusukan bayi.

Kontraindikasi Sucralfate

  • Hipersensitiviti
  • Beberapa kontraindikasi relatif termasuklah penyakit buah pinggang tahap akhir, diabetes mellitus yang tidak terkawal serta hiperglikemia, masalah menelan / refleks geg.
  • Sucralfate adalah ubat kategori B FDA yang mana keselamatan penggunaan ubat ini pada wanita hamil atau menyusukan bayi masih belum dapat diketahui.

Interaksi Sucralfate

Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat berfungsi atau meningkatkan risiko anda mendapat kesan sampingan yang serius. Artikel ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi ubat.

Simpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi / bukan preskripsi dan produk herba) dan kongsikan kepada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mula, henti atau ubah dos ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor anda.

Beberapa produk yang mungkin berinteraksi dengan ubat ini termasuk:

  • Antasid yang mengandungi aluminium, antibiotik tertentu (contohnya, quinolones seperti ciprofloxacin / levofloxacin / ofloxacin, tetracyclines), digoxin, ketoconazole, penicillamine, phenytoin, quinidine, ubat tiroid (seperti levothyroxine) liothyronine).

Dos Sucralfate

Dos dewasa biasa untuk masalah ulser duodenum adalah:

  • 1 g secara oral 4 kali sehari
  • Tempoh terapi: 4 hingga 8 minggu

Setiap dos harus diambil semasa perut kosong.

Bagi kebanyakan pesakit, rawatan harus diteruskan selama 4 hingga 8 minggu, namun, rawatan mungkin dihentikan lebih awal jika penyembuhan ditunjukkan pada ujian Sinar-X / endoskopi.

Ubat antasid juga mungkin diberikan, tetapi penggunaannya haruslah berasingan dengan sekurang-kurangnya 30 minit.

SUMBER

https://www.webmd.com/digestive-disorders/understanding-ulcers-basic-information#1

https://www.healthline.com/health/gastric-and-duodenal-ulcers

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/peptic-ulcer/diagnosis-treatment/drc-20354229

https://www.medicalnewstoday.com/articles/9273

error: Content is protected !!