Sujud sajadah adalah sujud yang dilakukan ketika membaca ayat-ayat tertentu dari kitab suci Al-Quran. Dalam Al-Quran, ia disebut sebagai ayat-ayat sajadah.
Sebab sujud ini dilakukan adalah kerana kita telah membaca atau mendengar bacaan ayat-ayat sajadah di dalam atau di luar doa dalam keadaan tertentu. Sujud ini juga melambangkan kerendahan hati kita sebagai hamba kepada Allah SWT.
HUKUM MELAKUKAN SUJUD SAJADAH
Hukum melakukan sujud sajadah ini adalah sunat muakkad. Di dalam solat berjemaah, makmum wajib ikut imam melakukan sujud sajadah. Namun jika imam tidak melakukannya, makmum tidak boleh melakukan sujud ini sendiri. Hal ini kerana makmum perlu mengikut perbuatan imam di dalam solat.
AYAT-AYAT SUJUD
Terdapat 15 ayat di dalam Al-Quran yang apabila dibaca, anda disunatkan untuk melakukan sujud sajadah. Ayat-ayat ini, di dalam Al-Quran, akan ditandakan dengan simbol yang kelihatan seperti kubah masjid untuk memudahkan orang yang membacanya.
Ayat-ayat itu adalah:
- Surah Al-A’raaf (7), ayat 206
- Surah Ar-Ra’d (13), ayat 15
- Surah An-Nahl (16), ayat 50
- Surah Al-Isra’ (17), ayat 109
- Surah Maryam (19), ayat 58
- Surah Al-Hajj (22), ayat 18
- Surah Al-Hajj (22), ayat 77
- Surah Al-Furqan (25), ayat 60
- Surah An-Naml (27), ayat 26
- Surah As-Sajdah (32), ayat 15
- Surah Saad (38), ayat 24
- Surah Fussilat (41), ayat 38
- Surah An-Najm (53), ayat 62
- Surah Al-Insyiqaq (84), ayat 21
- Surah Al-‘Alaq (96), ayat 19
SYARAT SAH MELAKUKAN SUJUD SAJADAH
Sebelum melakukan sujud sajadah, ada tiga syarat sah yang harus dipenuhi.
Pertama adalah anda tidak boleh berada dalam keadaan berhadas, tidak kira hadas besar mahupun kecil, yakni anda perlu berada dalam keadaan suci dari najis.
Kedua, anda perlu menghadap kiblat.
Ketiga, anda haruslah menutup aurat dengan sempurna.
CARA-CARA MELAKUKAN SUJUD DI DALAM SOLAT
Cara melakukan sujud sajadah sewaktu di dalam solat adalah anda perlu terus tanpa perlu berniat dan mengangkat tangan dahulu. Selepas anda membaca ayat sajadah, bacalah doa sujud sajadah di dalam sujud, dan berdiri semula lalu sambunglah solat seperti biasa.
Sekiranya bacaan surah yang mengandungi ayat sajadah telah tamat, anda boleh terus rukuk selepas anda berdiri sebentar setelah bangun dari sujud.
Ia juga adalah sunat untuk anda melafazkan takbir Allahuakbar sebelum turun dari qiam untuk melakukan sujud ini. Anda juga disunatkan untuk melafazkan takbir apabila bangun dari sujud.
Untuk solat fardhu yang dibaca dengan suara yang perlahan,contohnya solat Zohor, sujud tilawah sunat dilakukan oleh imam selepas imam selesai menunaikan solat supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada jemaah atau makmum.
CARA-CARA MELAKUKAN SUJUD DI LUAR SOLAT
Sujud sajadah yang dilakukan di luar solat haruslah memenuhi empat rukun:
- Lafaz niat : sahaja aku sujud sajadah kerana Allah Ta’ala
- Takbiratulihram
- Sujud
- Salam
Syarat-syarat sah sujud sajadah di luar solat adalah sama dengan syarat-syarat sah solat. Selain itu, sujud yang dilakukan tidak mempunyai jarak masa yang lama antara bacaan ayat sajadah dan juga sujud yang dilakukan.
Sekiranya anda tidak mampu melakukan sujud sajadah setelah mendengar bacaan ayat tersebut atas sebab-sebab seperti pergerakan yang terbatas, maka anda boleh menangguh dahulu sujud sajadah tersebut sehingga keadaan sudah mengizinkan anda berbuat demikian, asalkan dengan syarat jarak masa antara sujud sajadah dan waktu anda mendengar bacaan tersebut tidak terlalu lama.
BACAAN SUJUD SAJADAH
“Sajada wajhiya lillazi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam’ahu wabasharahu bihawlihi waquwwatihi fatabaarakallahu ahsanul khaliqin”
Maksudnya: “Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta”
Semoga dengan perkongsian ini, anda dapat lebih faham mengenai sujud sajadah ini. Juga diharapkan semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan untuk anda menghidupkan sunnah dengan melakukan sujud sajadah apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran yang tertentu.
Sumber:
http://www.masjidwilayah.gov.my/index.php/27-ilmiah/114-sujud-sajadah?start=1
https://www.facebook.com/kejiwa.kongsiilmu/photos
https://siraplimau.com/cara-sujud-tilawah-sejadah-solat/