Taucu dibuat dengan merebus kacang kedelai kuning kemudian mengisar, mencampurkannya dengan tepung dan menumisnya untuk membuat pes soya. Kacang soya direndam dalam air garam dan dijemur selama beberapa minggu, diteruskan dengan proses penapaian, sehingga warna pes berubah menjadi kuning-kemerahan. Asal taucu adalah dari Negara China.
Penggunaannya yang umum adalah sebagai ramuan atau penyedap dalam masakan. Proses penapaian taucu akan bertindak balas melepaskan banyak asid amino bebas kerana kandungan protein yang ada dalam kacang soya akan bergabung dengan garam yang menghasilkan rasa umami iaitu sejenis sensasi rasa yang enak apabila kita menikmatinya.
Kini banyak jenama yang menjual taucu berstatus halal seperti Yeos, Jalen, Tamin serta Adabi dengan pilihan variasi seperti taucu masin, taucu manis dan taucu pedas. Oleh itu, rakyat Malaysia khususnya yang muslim boleh membeli tanpa rasa was-was.
Cadangan masakan menggunakan taucu adalah ikan steam, ikan goreng taucu berkuah, ikan kerisi masak taucu, taucu udang petai, cendawan masak taucu, ayam taucu dan peria masak taucu.
Anda bingung bagaimana mahu menggunakan taucu? Jom kita belajar satu resepi yang menggunakan taucu. Resepi ikan selar dengan taucu pedas merupakan resepi yang sempurna untuk yang baru-baru berjinak dengan resepi taucu. Resepi ini disyorkan oleh syarikat Yeos sendiri.
Bahan-bahan:-
2 ekor ikan selar
1 sudu kecil serbuk kunyit
1/4 sudu kecil garam
3 sudu besar Taucu Pedas Yeo’s
5 biji cili merah (dikisar halus)
4 ulas bawang merah (dikisar halus)
3 ulas bawang putih (dikisar halus)
1 biji bawang besar (dikisar halus)
1/4 cawan air asam jawa
Sedikit gula
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng
Kaedah Penyediaan Resepi Taucu:-
1. Ikan dilumur dengan serbuk kunyit dan garam seketika.
2. Goreng ikan sehingga sedikit garing dan ketepikan.
3. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan Taucu Pedas Yeo’s dan tumis lagi sehingga garing.
4. Masukkan air asam jawa dan kacau supaya bahan tumisan tidak hangit.
5. Tambahkan gula dan garam untuk seimbangkan rasa.
6. Akhir sekali, masukkan ikan dan gaul agar sambal taucu sebati.
7. Sedia untuk dihidangkan.
Sekarang anda sudah mengetahui resepi enak ikan selar dengan taucu pedas. Untuk lebih banyak resepi berkaitan dengan taucu anda boleh layari laman web rasmi yeo’s https://yeosfoodmalaysia.com.my/ .Jom hidangkan menu ini untuk makan malam anda bersama keluarga tersayang! Selamat mencuba.
Sumber:
1) https://yeosfoodmalaysia.com.my/
2) https://kongcheong.com.my/product-category/categories/fermented-bean-paste-tauchu/