Now Reading
TEKUN – Usahawan Bumiputera Wajib Kenal Agensi Ini

TEKUN – Usahawan Bumiputera Wajib Kenal Agensi Ini

tekun

TEKUN Nasional atau kalau dulunya lebih dikenali sebagai Yayasan TEKUN Nasional merupakan salah satu agensi kerajaan yang diletakkan di bawah pentadbiran dan pengurusan Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia. TEKUN ditubuhkan kira-kira 23 tahun yang lalu iaitu pada 9 November 1998.

TEKUN ditubuhkan selaras dengan objektif kerajaan untuk menyediakan fasiliti pinjaman dan pembiayaan yang mudah dan cepat untuk golongan bumiputera yang meminta untuk menjadi usahawan dan memulakan perniagaan masing-masing. Sejak tahun 2008, TEKUN mengalami transformasi besar-besaran untuk memantapkan lagi perkhidmatan dan khidmat bantuan mereka seiring dengan perubahan corak perniagaan di Malaysia dalam kalangan bumiputera Malaysia.

Kini, selain daripada menjadi pusat penyedia fasiliti pinjaman dan pembiayaan perniagaan, TEKUN juga kini menjadi rakan kongsi strategik dalam proses pembangunan perniagaan dan usaha keusahawanan bumiputera.

TEKUN – Tongkat Usahawan Bumiputera

Kini, TEKUN Nasional telah menjadi institusi dan agensi yang menyediakan peluang untuk masyarakat bumiputera untuk menjana pendapatan, penyedia pembiayaan dan pinjaman modal pemula perniagaan serta penyedia servis panduan dan nasihat yang turut juga menjadi platform yang menghubungkan usahawan-usahawan bumiputera.

Semua ini dibuat untuk memperkasakan TEKUN sebagai agensi yang lebih dinamik dan lebih efektif dalam membantu memberikan usahawan Melayu dan bumiputera dalam menjalankan perniagaan masing-masing. TEKUN Nasional juga merupakan agensi utama yang membina Komuniti Komersial dan Industri Bumiputera – Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC).

Servis dan Khidmat

Setakat ini, ada enam program dan servis utama yang disediakan oleh TEKUN Nasional. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi TEKUN Nasional. Enam program dan servis utama yang disediakan adalah seperti berikut:

  • Skim Pembiayaan TEKUN Niaga

Skim Pembiayaan ini merangkumi pinjaman perniagaan serendag RM10 ribu dan setinggi RM 100 ribu. Tempoh bayaran boleh dipilih daripada lima tahun sehingga 10 tahun. Kadar keuntungan pula ialah 4% setahun dan sebanyak 1.5% sebulan daripada nilai pembiayaan bagi Skim Pembiayaan Kontrak-i. Skim ini boleh digunkaan untuk memulakan perniagaan, pembesaran perniagaan, pembelian kenderaan komersial atau jentera berat dan tujuan perniagaan yang lain.

  • Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN

Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN ini merupakan skim pinjaman yang berkonsepkan kerjasama antara kumpulan rakan perniagaan untuk pinjaman mikro yang lebih efisien, mudah dan cepat. Skim ini terbuka untuk perniagaan baru dan perniagaan sedia ada. Pemohon boleh membentuk satu kumpulan seramai 5 orang yang dipercayai untuk menjalankan usaha niaga. Latihan juga akan diberikan kepada pemohon Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN ini oleh pihak TEKUN sendiri. Mesyuarat mingguan untuk memastikan pemantauan kemajuan perniagaan juga dibuat setiap minggu bersama pegawai TEKUN. Nilai pinjaman boleh dibuat serendah RM5000 dan setinggi RM 50 ribu. Tempoh bayaran boleh dipilih mengikut kesesuaian daripada 6 bulan sehingga tempoh maksima lima tahun dan bayaran dibuat setiap minggu ketika mesyuarat bersama pegawai. Caj Pengurusan untuk skim ini hanyalah serendah 4% sahaja untuk setahun.

  • Skim Pembiayaan TemanNita

Skim Pembiayaan TemanNita pula merupakan skim pinjaman yang dikhaskan untuk golongan wanita yang ingin menjalankan perniagaan atau sudah ada mempunyai perniagaan. Seperti konsep Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN, skim pembiayaan TemanNita ini memerlukan anda membentuk satu kumpulan yang mempunyai 5 orang ahli. Cuma pada kali ini, semua ahli kumpulan anda adalah wanita. Perniagaan ahli kumpulan pula boleh merangkumi pelbagai jenis aktiviti perniagaan selagi perniagaan tersebut adalah sah di sisi undang-undang Malaysia. Perniagaan setiap ahli kumpulan pula hendaklah berdekatan antara satu sama lain iaitu dalam jarak  kurang daripada 10 kilometer atau bergantung kepada lokaliti setiap ahli kumpulan masing-masing.

  • Skim Pembiayaan Kontrak-i

Skim Pembiayaan Kontrak-i ini pula adalah proses pinjaman untuk membiayai kontrak dan pembekalan terus daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan dan Badan Berkanun di Malaysia. Jumlah pembiayaan pula serendah RM1000 dan setinggi RM 100 ribu. Tempoh bayaran semula pula tidak boleh melebihi 6 bulan. Jumlah caj pengurusan pula sangatlah rendah dan kompetitif iaitu hanya serendah 1.5% sebulan. Kelebihan Skim Pembiayaan Kontrak-i ini adalah seperti anda sebagai pemilik perniagaan tidak perlu mempunyai penjamin, tempoh pembayaran yang fleksible, caj pengurusan yang sangat rendah, tidak memerlukan deposit dan anda akan mendapat jumlah pinjaman secara sekaligus (lump sum).

  • Ar Rahnu

Servis pajak gadai Islamik yang menepati undang-undang dan aturan Syariah ini merupakan satu lagi servis popular yang dikendalikan oleh TEKUN Nasional dan diawasi oleh Jabatan Syariah TEKUN Nasional itu sendiri. Ar Rahnu TEKUN ini menyediakan kemudahan pinjaman pajak gadai jangka masa pendek. Orang awam dan pemilik perniagaan boleh memajak gadaikan simpanan aset emas atau barang kemas emas milik masing-masing untuk mendapatkan pinjaman setinggi 80% daripada nilai marhun emas tersebut. Ar Rahnu ini menyediakan pinjaman serendah RM100 dan setinggi RM 100 ribu selama 6 bulan dan boleh dipanjangkan lagi tempohnya. Ar Rahnu ini juga menerima emas yang berketulenan 24 karat sehingga 18 karat. Selain perkhidmatan Ar Rahnu ini, servis I-simpan dan I-cuci juga turut disediakan di cawangan Ar Rahnu TEKUN. Servis I-simpan merupakan servis simpanan bersekuriti tinggi untuk produk aset emas dan barang kemas milik anda. Manakala, servis I-cuci pula ialah servis membersihkan barang kemas milik anda dengan caj serendah RM 3.00 sahaja.

  • Inisiatif Covid-19

Disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang berleluasa sejak tahun 2019. TEKUN juga menawarkan pelbagai inisiatif terbaru untuk para peniaga dan klien sedia ada TEKUN yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19 ini. Inisiatif tersebut ialah seperti penangguhan bayaran balik pembiayaan secara automatik bagi yang berkelayakan, Skim Pembiayaan MobilePreneur 4.0 bagi mereka yang ingin membuat pembelian motosikal, membaiki motosikal dan memerlukan modal pusingan, Skim Pembiayaan Informal (SPIN) untuk para peniaga kecil yang tidak mempunyai lesen pendaftaran Perniagaan SSM atau lesen berniaga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan khidmat penjadualan semula pembiayaan sedia ada untuk yang terkesan serta terjejas.


Akhir sekali, TEKUN Nasional juga turut mempunyai pelbagai skim dan program yang lain untuk memberikan bantuan perniagaan kepada usahawan bumiputera dari masa ke semasa. Jadi pastikan anda sentiasa peka terhadap skim-skim terbaru ini ya! lagi-lagi kalau anda bergelar usahawan bumiputera.

SUMBER:

https://ms.wikipedia.org/wiki/TEKUN

https://www.tekun.gov.my/en

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/697140/tekun-nasional-terima-25140-permohonan-skim-mikro-covid-19

https://www.google.com/imgres?imgurl=https%3A%2F%2Ftekunfin.tekun.gov.my%2Fimages%2Flogo.png&imgrefurl=https%3A%2F%2Ftekunfin.tekun.gov.my%2F&tbnid=2Sov6bhKpFPr2M&vet=12ahUKEwiPqc78x8byAhXws0sFHYLkDXUQMygAegUIARCuAQ..i&docid=66yq5FFE9AXlCM&w=987&h=819&q=tekun%20malaysia&ved=2ahUKEwiPqc78x8byAhXws0sFHYLkDXUQMygAegUIARCuAQ

error: Content is protected !!