Now Reading
Punca Telinga Berdesing (Tinnitus) Diagnosis Dan Rawatannya

Punca Telinga Berdesing (Tinnitus) Diagnosis Dan Rawatannya

telinga berdesing

Pengenalan

Telinga berdesing atau Tinnitus adalah sensasi pendengaran seperti dengungan, mendesis, berkicau, bersiul atau bunyi-bunyi lain. Bunyi ini boleh berselang-seli atau berterusan, dan boleh berbeza-beza dalam kebisingannya. Selalunya, keadaan ini akan menjadi lebih teruk apabila bunyi latar belakang adalah rendah, jadi anda mungkin menyedarinya pada waktu malam ketika anda sedang tidur dalam bilik yang tenang. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, bunyi-bunyian tersebut mungkin selari dengan jantung anda (tinnitus pulsatile).

Tinnitus adalah nama perubatan bagi telinga berdesing, iaitu keadaan yang biasa berlaku dan menjejaskan kira-kira 50 juta individu dewasa di A.S. Bagi kebanyakan individu, keadaan itu hanyalah satu gangguan. Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang teruk, tinnitus dapat menyebabkan ramai individu mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian dan tidur. Sejurus itu, ia boleh mengganggu hubungan kerja dan hubungan peribadi, lalu menyebabkan tekanan psikologi.

Walaupun tinnitus sering dikaitkan dengan kehilangan pendengaran, ia tidak menyebabkan kehilangan tersebut mahupun kehilangan pendengaran menyebabkan tinnitus. Sebenarnya, sesetengah individu yang mengalami tinnitus mengalami kesukaran untuk mendengar. Dalam beberapa kes, mereka juga menjadi sangat sensitif terhadap bunyi (hyperacusis) dan perlu mengambil langkah tertentu untuk menahan atau mengelakkan bunyi bising luaran.

Sesetengah kejadian tinnitus disebabkan oleh jangkitan atau penyumbatan di telinga, dan tinnitus boleh hilang apabila penyebab asas dirawat. Walau bagaimanapun, tinnitus selalunya berterusan selepas keadaan asas dirawat. Dalam kes sedemikian, terapi lain  konvensional atau alternatif,boleh membawa kelegaan kepada pesakit dengan sama ada menurunkan atau menutup bunyi yang tidak diingini.

Penerangan

Tinnitus adalah bunyi dalaman yang bukan auditori dan berselang-seli atau berterusan dalam satu atau kedua telinga. Ia mungkin bernada rendah atau bernada tinggi.

Bunyi yang berbeza digambarkan sebagai siulan, kicauan, cakaran, ngauman, mendesis, menderu, dengungan, denyutan atau muzikal.

Tahap kebisingannya boleh berubah-ubah dan boleh jadi sangat ketaara pada waktu malam atau pada waktu yang senyap.

Penyebab yang berkemungkinan

Penyebab paling umum tinnitus adalah kerosakan dan kehilangan sel-sel rambut deria yang kecil dalam koklea di dalam telinga.

Keadaan ini cenderung berlaku apabila seseorang telah berusia. Selain itu, ia juga boleh terjadi akibat pendedahan yang terlampau terhadap bunyi bising. Kehilangan pendengaran mungkin akan berlaku bersama tinnitus.

Kajian mengesyorkan bahawa kehilangan pendengaran sesetengah frekuensi buni boleh mengakibatkan perubahan cara otak memproses bunyi. 

Apabila otak kurang menerima rangsangan luaran terhadap sesuatu bunyi, ia akan mula menyesuaikan dan berubah mengikut keadaan tersebut. Jadi, Tinnitus mungkin adalah cara bagi otak untuk memenuhi ‘frekuensi bunyi yang hilang’ dalam sistem auditori seseorang. 

Selain itu, sesetengah ubat seperti aspirin, ibuprofen, antibiotik tertentu dan diuretik juga boleh menjadi ototoksik. Ini bermaksud ia boleh merosakkan dalam telinga sehingga menyebabkan tinnitus.

Sebab-sebab lain yang tinnitus adalah:

• Kecederaan kepala dan leher

• Jangkitan telinga

• Terdapat objek asing atau tahi telinga menyentuh gegendang telinga

• Masalah dalam tiub eustachian (telinga tengah)

• Gangguan sendi temporomandibular (TMJ)

• Tulang telinga tengah mengeras

• Kecederaan otak akibat trauma

Penyakit jantung

Kencing manis

Sekiranya terdapat objek asing atau tahi telinga yang menyebabkan tinnitus, mengeluarkan objek atau tahi telinga tersebut boleh mengatasi tinnitus.

Namun begitu, tinnitus yang berbunyi seperti denyutan nadi mungkin menandakan keadaan yang lebih serius. Ia boleh terjadi akibat ketumbuhan yang tidak normal dalam bahagian telinga seperti tumor atau penyambungan abnormal antara urat dan arteri.

Keadaan sebegitu memerlukan penilaian segera.

Remaja, bunyi bising, dan masalah pendengaran akan datang

Satu kajian mendapati bahawa seramai separuh daripada 170 orang remaja pernah mengalami tinnitus pada masa lalu. Penyelidikan mencadangkan hasil kajian tersebut mungkin berkaitan dengan gaya hidup berisiko remaja seperti mendengar bunyi yang kuat sehingga boleh mencetuskan tinnitus.

Walau bagaimanapun, para penyelidik mendapati bahawa mereka yang terdedah kepada tinnitus cenderung mendengar muzik dalam tahap volum yang rendah, maksudnya mereja sudah mempunyai risiko tersembunyi tertentu yang boleh menjurus kepada kehilangan pendengaran di masa akan datang.

Mereka mencadangkan pemantauan untuk tinnitus dan toleransi yang rendah untuk bunyi bising dari usia muda kerana ia boleh menjadi tanda awal kehilangan pendengaran pada masa depan.

Bila perlu menghubungi doktor

Sekiranya anda mempunyai tinnitus yang mengganggu anda kehidupan harian anda, berjumpalah dengan doktor anda.

Lakukan temujanji untuk berjumpa dengan doktor anda jika:

• Anda mengalami tinnitus selepas jangkitan pernafasan seperti selesema atau sekiranya tinnitus anda tidak bertambah baik dalam tempoh seminggu

Berjumpalah dengan doktor anda segera jika:

• Anda mempunyai tinnitus yang berlaku secara tiba-tiba atau tanpa sebab yang jelas

• Anda mengalami kehilangan pendengaran atau pening disamping mengalami tinnitus

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor akan memeriksa telinga anda dan menjalankan ujian pendengaran untuk mendiagnosis tinnitus. Seterusnya, seorang pakar audiologi akan mendengarkan bunyi melalui headphone ke satu telinga anda pada satu masa. Anda perlu bertindak balas secara jelas dengan menaikkan tangan anda atau melakukan isyarat tertentu sekiranya  anda mendengar setiap bunyi.

Selain itu, doktor mungkin boleh mendiagnosis penyebab tinnitus anda dengan cara membandingkan apa yang anda boleh dengar dengan individu yang sama umur dan jantina dengan diri anda.

Beliau juga boleh menggunakan ujian pengimejan, seperti imbasan CT atau MRI untuk mengetahui sama ada anda mengalami sebarang kecacatan atau kerosakan pada telinga anda. Namun begitu, X-ray biasa tidak selalunya boleh menunjukkan tumor, gangguan pembuluh darah, atau keabnormalan lain yang boleh menjejaskan pendengaran anda.

Rawatan

Merawat keadaan kesihatan yang menjadi puncanya

Untuk merawat tinnitus anda, doktor akan mula mengenalpasti sebarang kedaan yang boleh dikaitkan dengan simptom anda. Sekiranya tinnitus anda berpunca dari masalah kesihatan tertentu, doktor anda mungkin boleh mengambil langkah berpatutan bagi mengurangkan bunyinya. Conthnya termasuklah: 

• Membuang tahi telinga. Mengeluarkan tahi telinga yang terimpak boleh mengurangkan simptom tinnitus.

• Merawat keadaan pembuluh darah. Keadaan vaskular dasar mungkin memerlukan ubat-ubatan, pembedahan atau rawatan lain bagi mengatasinya.

• Mengubah ubat anda. Jika ubat yang anda ambil adalah punca tinnitus yang anda alami, doktor mungkin mengesyorkan anda untuk menghentikan atau mengurangkan pemgambilan ubat tersebut atau beralih kepada ubat lain.

Penindasan kebisingan

Dalam sesetengah keadaan, bunyi putih boleh menahan bunyi tersebut supaya ia kurang mengganggu. Doktor mungkin mencadangkan penggunaan peranti elektrinik bagi menahan atau menindas bunyi tersebut. Peranti itu termasuklah:

  • Mesin bunyi putih. Peranti ini menghasilkan bunyi persekitaran seperti hujan atau ombak laut dan adalah rawatan yang berkesan bagi tinnitus. Anda mungkin mahu mencuba mesin bunyi putih bersama bantal pembesar suara untuk membantu anda tidur. Kipas, humidifier dan dehumidifier serta pendingin hawa dalam bilik tidur juga boleh membantu menutuo bunyi dalaman pada waktu malam.

  • Alat bantuan pendengaran. Alat ini boleh membantu jika anda mempunyai masalah pendengaran serta tinnitus.

  • Peranti masking. Ia dipakai di telinga dan sama seperti alat bantuan pendengaran, ia menghasilkan bunyi putih bertahap rendah yang menahalan simptom tinnitus.

  • Latihan semula tinnitus. Peranti boleh dipakai yang menghantar bunyi musik tertentu bagi menghalang frekuensi tertentu tinnitus, justeru itu membantu anda untuk tidak terlalu fokus terhadap bunyi tersebut. Kaunseling merupakan komponen utama bagi latihan semula tinnitus.

Ubat-ubatan

Ubat tidak boleh menyembuhkan tinnitus. Namun dalam beberapa kes, ia boleh membantu mengurangkan keparahan simptom atau komplikasinya. Ubat-ubatan tersebut termasuklah:

  • Antidepresan trisiklik, seperti amitriptyline dan nortriptyline. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini biasanya digunakan hanya untuk tinnitus yang teruk kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan lain seperti mulut kering, penglihatan kabur, sembelit dan masalah jantung.

  • Alprazolam (Xanax) boleh membantu mengurangkan simptom tinnitus, namun ia mempunyai kesan sampingan yang merangkumi rasa mengantuk dan mual. Selain itu, ia juga cenderung membentuk kebiasaan.

SUMBER

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/understanding-tinnitus-basics

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tinnitus/diagnosis-treatment/drc-20350162

https://www.medicalnewstoday.com/articles/156286.php#causes

https://www.healthline.com/health/tinnitus#treatment

error: Content is protected !!