Teluk Batik terletak dalam daerah Manjung, Perak. Ia telah lama terkenal kerana pantainya yang cantik dan landai cukup sesuai untuk mandi laut. Selain itu, suasana yang tenang serta kemudahan tempat penginapan yang banyak menjadikan ia pilihan ramai setiap kali tiba musim cuti sekolah.
Kawasan pantai yang luas menjadi pilihan bagi yang ingin mengadakan hari keluarga dan aktiviti perkhemahan. Terdapat banyak ruang parkir yang disediakan dan pantai ini akan sesak semasa cuti umum dan hujung minggu.
Teluk Batik juga menjadi port untuk Pesta Laut Lumut diadakan iaitu semasa cuti penggal persekolahan. Ramai memilih lokasi ini sebagai port santai dek kerana pantainya yang bersih dan cantik serta sangat sesuai untuk bermandi-manda.
Jom lihat tempat-tempat menarik di Teluk Batik yang boleh anda kunjungi dan juga aktiviti-aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di sini.
Tempat-Tempat Menarik di Teluk Batik
Berikut adalah 3 tempat yang paling menarik di sekitar Teluk Batik.
1. Pantai Teluk Batik
Ya, semestinya perkara wajib yang harus anda kunjungi adalah pantainya yang indah. Bayangkan pasir putihnya yang gebu, air laut membiru yang jernih dan bersih, suasana tenang dengan tiupan angin laut bercampur bau garam, maka tak hairanlah pantai ini tak pernah lenggang dengan kehadiran pengunjung tambah-tambah ketika cuti umum.
Pengunjung juga boleh berkelah dibawah pokok ru yang banyak sekitar pantai. Tak cukup dengan itu, anda juga boleh menyewa kerusi pantai dengan harga sekitar RM 3 sahaja.
Anda boleh membawa anak-anak bermain di gigi air dan menyewa pelampung dengan harga serendah RM 5 ke RM 10 mengikur saiz. Pelbagai kemudahan lengkap disediakan di sekitar pantai. Begitu juga dengan aspek keselamatan, beberapa pengawal pantai ditugaskan untuk menjaga keamanan pantai.
2. Muzium Siput Teluk Batik
Muzium Siput? Pelik bukan. Pastinya anda tidak pernah tentang kewujudan muzium ini. Tempat menarik di Teluk Batik ini terletak berhampiran dengan pantai Teluk Batik.
Ia mempamerkan kira-kira 300 jenis siput yang didatangkan dari belahan negara di rantau asia ini. Segala ilmu dan informasi tentang siput, sama ada jenis siput yang boleh dimakan atau tidak, beracun atau tidak, struktur tubuh siput dengan pelbagai warna, semuanya akan diterangkan disini dengan terperinci oleh pegawai yang bertugas.
Aktiviti di tempat menarik di daerah ini amat berfaedah untuk anda, anak-anak dan keluarga. Bayaran masuk hanya sekitar RM 2 bagi dewasa manakala kanak-kanak sekitar RM0.50. Mereka beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.
Pada awalnya anda pasti menyangkakan muzium ini sangat membosankan, tetapi setelah masuk ternyata tekaan anda pasti meleset. Siput disini sungguh cantik dan unik.
3. Resort Teluk Batik
Rasai sendiri bagaimana pengalaman bilik yang menghadap laut dan jika anda membuka tingkap, angin laut akan terus menerpa ke wajah anda.
Resort yang terletak kira-kira 3 jam dari Kuala Lumpur ini menawarkan kepada anda lebih dari 300 bilik yang berkonsepkan tradisional atau gaya moden.
Aktiviti Sekitar Pantai Teluk Batik Yang Boleh Anda Lakukan
Pantai Teluk Batik yang cantik ini pastilah menawarkan anda pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan. Lihat aktiviti-aktiviti yang boleh anda lakukan di sekitar Teluk Batik.
1. Membeli cenderamata
Dah puas bermandi manda, anda boleh singgah sebentar di deretan kedai yang berada sekitar pantai. Di kedai-kedai ini, mereka menjual pelbagai barangan yang mempromosikan pantai Teluk Batik seperti sotong kering, ikan bilis, pakaian, topi , keychain, peralatan mandi dan cenderamata.
Pastinya harga barangan yang dijual tidak mencekik darah. Sebelum pulang, beli ole-ole untuk orang di rumah apa salahnya kan?
2. Melakukan aktiviti sukan air
Aktiviti menarik bertemakan laut disini adalah seperti snorkeling, jetski, Big Mable iaitu sejenis pelampung yang ditarik dengan jetski, berkuda, kayak dan yang paling popular ialah Banana Bot.
3. Memancing ikan
Untuk pengetahuan anda, terdapat kawasan berbatu dihujung pantai yang menjadi port bagi kaki pancing. Jika anda seorang yang gemar memancing pastikan anda tidak lupa untuk membawa peralatan pancing anda.
4. Bersiar-siar menaiki bot
Anda boleh menyewa bot dengan harga RM 5 untuk bersiar-siar di sekitar persisiran laut. Rugi rasanya jika anda datang sekadar bermandi-manda tetapi tidak mencuba aktiviti-aktivti air di sini.
5. Melihat matahari terbenam
Melihat matahari terbenam di tempat menarik di Teluk Batik ini memudahkan anda mencari idea dan ilham tentang perniagaan, penulisan dan sebagainya. Lokasi ini dikatakan sungguh strategik untuk melihat matahari terbenam tatkala senja.
Seandainya cuaca baik, anda dapat menyaksikan betapa indahnya menembusi kepulan awan dan memantul ke air laut. Jika anda tunggu sehingga waktu hampir maghrib, anda dapat melihat mega merah di layar langit. Amat sesuai untuk mengambil gambar.
6. Mengambil gambar di sekitar pantai Teluk Batik
Persekitaran kawasan pantai yang bersih memang sesuai untuk merakam momen-momen indah bersama keluarga dan rakan. Bukan itu sahaja, bahkan juga terdapat pasangan pengantin yang menjadikan tempat menarik di Teluk Batik ini sebagai destinasi bergambar bagi sesi outdoor.
7. Menikmati makanan laut
Antara aktiviti yang wajib anda lakukan adalah memenuhi perut dan citarasa anda dengan makanan laut yang lazat. Di kawasan Teluk Batik ini memang banyak restoran dan kedai makanan laut. Rambang mata dibuatnya. Pastinya segala bahan mentah hasil laut didatangkan segar setiap hari.
Makanan popular di sini ialah ikan siakap tiga rasa, ikan bakar, sotong goreng tepung dan macam-macam lagi. Memang mengasyikkan betul, sambil menikmati makanan lazat yang panas-panas lagi anda boleh melayan angin pantai yang bertiup sesepoi bahasa.
Ditepi pantai juga ada dijual makanan ringan seperti ais krim dan keropok secara kecil-kecilan.
Bercuti di sini sangat menjimatkan kos disamping tempat-tempatnya juga tak kalah hebatnya. Anda pasti bangga setelah melihat dan merasai sendiri pengalaman bercuti di port santai dalam negara kita sendiri. Jangan lupa ke Teluk Batik ya!
Sumber:
https://apithalim1103.blogspot.com/2019/03/trip-to-teluk-batik.html
https://ammboi.my/port-santai-13-aktiviti-dan-7-tempat-menarik-di-teluk-batik-wajib-singgah/
https://www.percutianbajet.com/perak/bercuti-di-teluk-batik-lumut