Now Reading
Tiada amalan menziarahi kubur pada hari raya tahun ini

Tiada amalan menziarahi kubur pada hari raya tahun ini

Tiada amalan menziarahi kubur pada hari raya tahun ini

Menziarahi kubur pada hari raya adalah satu perkara yang biasa bagi umat Islam di negara ini. Biasanya, pada pagi raya, setelah selesai solat sunat aidilfitri secara berjemaah di masjid atau surau, ramai yang akan mula mengunjungi ke tanah perkuburan untuk menziarahi ahli keluarga yang telah pergi menghadap pencipta-Nya. Ada juga yang pergi menziarah kubur hari raya setelah selesai makan, bergambar dan bersalaman dengan keluarga di rumah masing-masing.

Tradisi ini telah dipraktikkan sejak dahulu kala dan ia pastinya terasa asing apabila tahun ini, kita tidak dibenarkan berbuat sedemikian gara-gara wabak COVID-19 yang masih belum reda dan pulih sepenuhnya.

Pastinya ramai yang berdukacita kerana tidak dapat menziarah ke kubur ahli keluarga semasa musim perayaan ini. Ia pasti sangat terkesan terutama bagi mereka yang hanya dapat menziarah beberapa kali setahun kerana faktor lokasi atau faktor-faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Memandangkan tempoh PKP dipanjangkan lagi sehingga 9 Jun ini, serta sekatan perjalanan antara negeri dikuatkuasakan, pastinya ramai yang tidak dapat balik kampung dan menziarahi ahli keluarga mereka.

Adakah menziarahi kubur pada hari raya itu satu kemestian?

Mungkin ada yang musykil dan bertanya “Adakah ziarah kubur hanya berlaku pada hari raya sahaja?”. Tidak, ini adalah sama sekali tidak tepat. Tradisi ini sebenarnya terjadi kerana biasanya, anak-anak yang tinggal di bandar atau jauh dari kampung hanya berupaya untuk pulang menziarahi kubur keluarga semasa hari raya memandangkan tempoh cuti yang diberikan oleh kerajaan adalah selama 2 hari. Jadi, ada yang mengambil kesempatan untuk mengambil cuti lebih agar dapat meluangkan masa lebih lama di kampung.

Jika anda lebih senang untuk menziarahi kubur pada waktu lain, itu juga tidak mengapa memandangkan ia bukanlah satu perkara yang “wajib” untuk dilakukan. Ia adalah satu amalan sunat yang dituntut bagi mengingatkan kita pada kematian dan hari akhirat yang akan tiba kelak. Ini juga telah dinyatakan oleh para ulama dan telah dinyatakan dengan jelas kepada umum. Dengan menziarahi kubur, ia juga merupakan satu peluang untuk melepaskan rasa rindu yang tidak terungkap terhadap individu kesayangan kita yang telah tiada lagi.

Jadi, adakah individu tidak dibenarkan langsung untuk menziarahi kubur sewaktu tempoh PKP ini?

Ya, kerajaan telah menetapkan bahawa kawasan perkuburan tidak boleh dilawat kecuali bagi tujuan pengebumian. Namun, ini juga mempunyai peraturan spesifik yang harus dipatuhi dalam keadaan wabak COVID-19 sekarang. Berdasarkan syarat PKP yang dikenakan, hanya keluarga dan waris terdekat sahaja dibenarkan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Bagi tujuan lagi selain kematian, mana-mana individu tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

Malah, dalam satu artikel di laman web Astro Awani ada mengatakan bahawa semua individu yang menghadiri pengebumian tersebut harus segera bersurai selepas bacaan talkin oleh imam atau individu terbabit, sentiasa memakai topeng muka serta perlu menjaga kebersihan diri dengan menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

Ini adalah penting agar penyebaran COVID-19 itu tidak berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam urusan pengebumian tersebut. Ia juga membolehkan ahli keluarga terdekat memberikan penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka walaupun dalam keadaan sebegini.

JADI,

Ianya tidak mengapa jika kita tidak dapat menziarah kubur ahli keluarga kita pada tahun ini, cukuplah dengan memberikan doa bagi kesejahteraan mereka di alam sana. Demi kesejahteraan semua, langkah-langkah keselamatan sebegini perlu diambil dan dipatuhi dengan serius sehinggalah wabak ini benar-benar berakhir.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/03/17/muslim-funerals-may-go-on-in-malaysia-during-covid-19-shutdown-but-with-min/1847478

SUMBER

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hanya-keluarga-waris-terdekat-dibenar-iring-jenazah-ke-kubur-sepanjang-pkp-236312

https://ismaweb.net/2020/05/03/pemikiran-terbelenggu-dengan-ziarah-kubur-pada-hari-raya/

error: Content is protected !!