Baru-baru ini, anda mendapat berita bahawa anak anda mengalami Gangguan Spektrum Autisme. Anda mungkin tertanya-tanya dan bimbang tentang apa yang akan berlaku seterusnya kepada anak anda dan diri anda. Tiada ibu bapa yang pernah bersedia untuk mendengar bahawa anak-anak mereka didiagnosis oleh Gangguan Spektrum Autisme. Pengalaman ini boleh menjadi sangat mengejutkan dan menakutkan buat anda. Jadi, anda mungkin tidak pasti bagaimana cara yang terbaik untuk membantu anak anda. Ataupun, anda keliru dengan nasihat rawatan bertentangan yang anda dengar di sekeliling anda, atau anda mungkin diberitahu bahawa Gangguan Spektrum Autisme adalah keadaan yang tidak dapat diubati seumur hidup. Hal-hal sedemikian menyebabkan anda bimbang bahawa sebarang perkara yang anda lakukan tidak akan menunjukkan perbezaan.
Ya, benar. Gangguan Spektrum Autisme bukanlah keadaan yang boleh hilang begitu sahaja, terdapat banyak rawatan yang diperlukan untuk membantu anak anda memperolehi kemahiran baru dan mengatasi pelbagai cabaran perkembangan. Dari perkhidmatan pakar hinggalah terapi tingkah laku di rumah dan program berasaskan sekolah, bantuan telah tersedia untuk memenuhi keperluan khusus anak anda bagi membantu mereka belajar, membesar, dan berkembang dalam kehidupan.
Apabila anda menjaga seorang anak yang didagnosis dengan Gangguan Spektrum Autisme, ia juga amat penting untuk menjaga diri anda. Emosi yang kuat boleh menjadikan anda ibu bapa yang terbaik seperti yang anak anda perlukan.
Oleh itu, petua keibubapaan yang kami sediakan ini boleh membantu anda dengan menjadikan kehidupan anak anda lebih mudah.
Jangan tunggu untuk membuat diagnosis
Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme atau kelewatan perkembangan yang berkaitan, perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah untuk memulakan rawatan dengan segera. Dapatkan bantuan sebaik sahaja anda mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan anak anda. Jangan tunggu dan lihat jika perkembangan anak anda akan bertambah baik di kemudian hari serta jangan tunggu untuk diagnosis rasmi.
Lebih awal kanak-kanak yang terdedah kepada Gangguan Spektrum Autisme mendapatkan bantuan, semakin tinggi peluang mereka untuk mendapatkan rawatan yang berkesan. Intervensi awal adalah cara yang paling efektif untuk mempercepatkan perkembangan anak anda dan mengurangkan simptom Autisme sepanjang jangka hayat mereka.
Apa perlu anda lakukan jika anak anda menghidap Autisme
Perkara penting yang perlu anda lakukan tatkala anak anda didiagnosis dengan Gangguan Spektrum Autisme adalah belajar mengenai Autisme. Semakin banyak yang anda ketahui tentang Gangguan Spektrum Autisme, anda boleh membuat keputusan yang lebih baik terhadap anak anda melalui maklumat yang anda belajar. Didiklah diri anda tentang pilihan rawatan, bertanya soalan, dan mengambil bahagian dalam semua keputusan rawatan yang perlu dilakukan.
- Jadilah “doktor” kepada anak anda. Kenal pasti apa yang mencetuskan tingkah laku yang mencabar atau yang mengganggu anak anda dan beri maklum balas yang positif. Apakah yang anak anda takuti atau menyebabkannya stress? Apa yang membuatkan mereka tenang? Tidak selesa? Senang? Sekiranya anda memahami apa yang menjejaskan anak anda, anda akan menjadi lebih baik dalam menyelesaikan masalah dan mencegah atau mengubah situasi yang sukar.
- Terima anak anda seadanya, keanehan dan semuanya. Daripada memberi tumpuan kepada bagaimana anak autistik anda berbeza dengan kanak-kanak lain dan apa yang “kurang” padanya, belajarlah menerima anak anda. Raikan ciri khas anak anda dengan meraikan kejayaan kecil, dan berhenti membandingkan anak anda dengan kanak-kanak lain. Rasa dikasihi dan diterima tanpa syarat akan membantu anak anda lebih daripada yang lain.
- Jangan berputus asa. Ia adalah mustahil untuk meramal perjalanan Gangguan Spektrum Autisme anak anda. Jangan buat kesimpulan tentang apa yang akan berlaku dalam kehidupan anak anda. Seperti kanak-kanak lain, anak yang mempunyai Autisme perlu membesar dan mengembangkan kebolehan sepanjang hidup mereka.
Tips menguruskan anak-anak Autisme
Tip 1: Menyediakan struktur dan keselamatan
Belajar semua tentang Autisme dan libatkan diri dalam setiap rawatan akan membantu perkembangan anak anda. Di samping itu, petua berikut juga akan menjadikan kehidupan harian anda dan anak anda lebih mudah:
- Konsisten. Kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme mempunyai masa yang sukar untuk mengaplikasikan apa yang mereka pelajari dalam sesuatu persekitaran (seperti pejabat atau sekolah terapi) termasuklah di rumah. Sebagai contoh, anak anda mungkin menggunakan bahasa isyarat di sekolah untuk berkomunikasi, tetapi tidak pernah terfikir untuk melakukannya di rumah. Mewujudkan konsistensi dalam persekitaran anak anda adalah cara terbaik untuk memperkukuhkan pembelajarannya.
Ambil tahu mengenai setiap terapi yang anak anda jalani dan teruskan teknik yang dipelajari di rumah. Terokai kemungkinan terapi berlaku di mana-mana tempat untuk menggalakkan anak anda mengaplikasikan apa yang anak anda telah belajar dari satu persekitaran ke persekitaran yang lain. Ia juga penting untuk berinteraksi secara konsisten dengan anak anda dan menguruskan tingkah lakunya yang mencabar secara teratur.
- Mengikuti jadual. Kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme cenderung berfungsi dengan baik apabila mereka mempunyai jadual yang berstruktur atau rutin. Sekali lagi, perkara ini boleh dikaitkan dengan konsistensi yang mereka perlukan dan dambakan. Sediakan jadual untuk anak anda, termasuklah waktu makan, terapi, sekolah, dan waktu tidur. Cuba kurangkan sebarang gangguan pada rutin ini. Sekiranya terdapat perubahan jadual yang tidak dapat dielakkan, sediakan anak anda terlebih dahulu.
- Ganjaran buat tingkah laku yang baik. Kekal positif boleh menjadi sesuatu yang sangat sukar bagi mengurus anak dengan Gangguan Spektrum Autisme. Jadi, berusahalah untuk memberi tumpuan kepada kelakuan yang baik. Puji mereka apabila mereka bertindak dengan sewajarnya atau belajar kemahiran baru. Jadilah spesifik mengenail tingkah laku mereka yang anda puji. Selain itu cari cara lain untuk memberi ganjaran kepada mereka bagi tingkah laku yang baik, seperti memberi mereka pelekat atau membenarkan mereka bermain dengan mainan kegemaran.
- Cipta zon selamat di rumah. Sediakan ruang peribadi di rumah anda di mana anak anda boleh berehat, berasa selamat, dan aman. Ini melibatkan anda mengatur dan menetapkan sempadan dengan cara yang boleh difahami oleh anak anda. Petunjuk visual boleh membantu mereka (pita berwarna digunakan untuk menanda kawasan larangan atau melabel barang-barang dalam rumah dengan gambar). Anda juga mungkin perlu kalis-keselamatan rumah anda, terutamanya jika anak anda cenderung tantrum atau menunjukkan tingkah laku mencederakan diri sendiri yang lain.
Tip 2: Cari cara bukan verbal untuk berhubung dengan anak anda
Berhubung dengan seorang anak yang mempunyai Gangguan Spektrum Autisme boleh menjadi sesuatu yang mencabar, tetapi anda tidak semestinya perlu bercakap atau bahkan menyentuh mereka sewaktu berkomunikasi dan berhubung dengan mereka.
Anda juga boleh berkomunikasi dengan cara memerhati anak anda, dengan nada suara anda, bahasa tubuh anda dan mungkin cara anda menyentuh anak anda. Anak anda juga berkomunikasi dengan anda, walaupun dia tidak pernah bercakap, mungkin melalui bahasa tubuhnya (nonverbal). Anda hanya perlu mempelajari bahasa tersebut.
- Cari isyarat nonverbal. Sekiranya anda seorang pemerhati, anda boleh belajar mengenali isyarat nonverbal yang digunakan oleh anak anda. Perhatikan jenis bunyi yang mereka keluarkan, ekspresi wajah mereka, dan gerak isyarat yang mereka gunakan apabila mereka letih, lapar, atau menginginkan sesuatu.
- Mengetahui punca berlakunya kekecohan atau tantrum. Ia merupakan perkara semulajadi untuk berasa marah apabila anda disalahfahami atau diabaikan, dan perkara ini tidak berbeza bagi kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme. Kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme sering kali bertindak kerana anda tidak memahami isyarat-isyarat yang mereka tunjukkan. Tantrum adalah cara mereka untuk berkomunikasi mengenai kekecewaan mereka dan mendapat perhatian anda.
- Luangkan masa melakukan sesuatu yang seronok. Seorang anak yang menghidap Gangguan Spektrum Autisme adalah sama seperti kanak-kanak yang lain. Bagi anak tersebut dan ibu bapa mereka, kedua-duanya memerlukan sesuatu yang lebih dalam kehidupan berbanding hanya terapi. Jadualkan waktu bermain ketika anak anda berada dalam keadaan paling aktif.
Cari cara untuk bermain bersama dengan memikirkan perkara-perkara yang membuatkan anak anda tersenyum, ketawa, dan keluar dari cengkerangnya. Anak anda mungkin akan menikmati aktiviti ini jika ia tidak kelihatan terlalu terapeutik atau seperti proses pembelajaran. Terdapat banyak faedah yang akan diperolehi daripada meluangkan masa bermain bersama anak anda kerana bermain adalah bahagian penting pembelajaran untuk semua kanak-kanak dan ia tidak sepatutnya sama seperti bekerja.
- Perhatikan sensitiviti deria anak anda. Ramai kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme hipersensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan, rasa, dan bau. Namun begitu, sesetengah kanak-kanak dengan Autisme pula adalah “kurang sensitif” kepada rangsangan deria. Ketahuilah mengenai pandangan, bunyi, bau, pergerakan, dan sensasi sentuhan yang mencetuskan tingkah laku “buruk” anak anda atau sesuatu yang menggalakkan tindak balas positif daripada anak anda. Sekiranya anda memahami apa yang menjejaskan anak anda, anda akan menjadi lebih baik dalam menyelesaikan masalah, menghalang situasi sukar, dan mencipta pengalaman yang berjaya.
Tip 3: Cipta pelan rawatan peribadi Autisme
Dengan begitu banyak rawatan yang berbeza, ia boleh menjadi sukar untuk mengetahui pendekatan yang sesuai untuk anak anda. Anda mungkin mendengar cadangan yang berbeza atau bahkan bercanggah antara satu sama lain daripada ibu bapa, guru, dan doktor. Apabila mencipta pelan rawatan untuk anak anda, ingatlah bahawa tiada rawatan tunggal yang berfungsi untuk semua individu. Setiap kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme adalah unik, dengan kekuatan dan kelemahan tersendiri yang berlainan.
Pelan rawatan yang baik termasuklah:
- Membina minat anak anda
- Menawarkan jadual yang boleh diramalkan (berstruktur atau rutin)
- Mengajar tugas dalam satu siri langkah yang mudah
- Menarik tumpuan anak anda ketika melakukan aktiviti berstruktur tinggi
- Memberi sokongan terhadap tingkah laku dengan kerap
- Melibatkan ibu bapa
Sumber: Institut Kesihatan Mental Negara
Rawatan anak anda perlu disesuaikan mengikut keperluan mereka. Anda lebih mengetahui mengenai anak anda dengan baik, jadi terserah kepada anda untuk memastikan keperluan tersebut dipenuhi. Anda boleh melakukannya dengan bertanya diri anda tentang soalan berikut:
- Apakah kekuatan anak saya – dan kelemahannya?
- Apakah kelakuan yang menyebabkan banyak masalah? Kemahiran penting apakah yang anak saya kurang?
- Bagaimanakah cara terbaik anak saya belajar, melalui melihat, mendengar, atau melakukan?
- Apakah anak saya suka dan bagaimanakah aktiviti tersebut dapat digunakan dalam rawatan dan untuk meningkatkan pembelajarannya?
Akhirnya, anda perlu ingat bahawa tidak kira apa rancangan rawatan yang dipilih, penglibatan anda adalah penting untuk memastikan hasil yang optimum. Anda boleh membantu anak anda mendapatkan rawatan yang terbaik dengan bekerja secara bersemuka dengan pasukan rawatan dan menjalani terapi di rumah.
Tips 4: Cari bantuan dan sokongan
Menjaga kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme memerlukan banyak tenaga dan masa anda. Mungkin terdapat hari apabila anda berasa tewas, tertekan, atau berpustus asa. Ingatlah, alam keibubapaan tidak pernah mudah, dan membesarkan anak dengan keperluan istimewa bahkan lebih mencabar. Untuk menjadi ibu bapa yang terbaik, anda juga perlu menjaga diri anda sendiri.
- Jangan cuba untuk melakukan segala-galanya sendiri – Terdapat banyak tempat untuk keluarga yang memiliki anak dengan Gangguan Spektrum Autisme berunding, membantu satu sama lain dan mendapatkan sokongan:
- Kumpulan sokongan Gangguan Spektrum Autisme – Menyertai kumpulan sokongan Gangguan Spektrum Autisme adalah cara terbaik untuk bertemu dengan keluarga lain yang menghadapi cabaran yang sama. Ibu bapa boleh berkongsi maklumat, mendapatkan nasihat, dan bersandar atas sokongan emosi. Hanya berada di sekitar orang lain yang mengalami situasi yang sama dan berkongsi pengalaman mereka boleh mengawal emosi ibu bapa setelah menerima diagnosis Autisme.
- Kaunseling individu, perkahwinan atau keluarga – Sekiranya tekanan, kebimbangan, atau kemurungan berlaku kepada anda, anda mungkin perlu berjumpa dengan ahli terapi anda sendiri. Terapi adalah tempat yang selamat di mana anda boleh bercakap dengan jujur tentang semua perasaan anda yang baik, buruk, dan jelek.
Terapi perkahwinan atau keluarga juga boleh membantu anda menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh cabaran hidup dengan seorang kanak-kanak autistik yang mungkin menjejaskan hubungan anda dengan pasangan atau ahli keluarga lain.
Ketahuilah bahawa setiap anak itu adalah istimewa. Mempunyai keadaan autisme tidak bermakna anda boleh menyanyangi mereka kurang daripada sepatutnya. Mereka juga berhak dikasihi dan dilayan sama seperti insan normal lain.
SUMBER
https://www.webmd.com/brain/autism/parenting-child-with-autism
https://www.autismspeaks.org/blog/11-tips-new-autism-parents
https://www.verywellhealth.com/parenting-styles-that-dont-work-with-an-autistic-child-259958