Now Reading
14 Tips Mencegah Jerawat Secara Total

14 Tips Mencegah Jerawat Secara Total

mencegah jerawat

Mencegah jerawat mengambil masa selama bertahun serta berpuluh-puluh perjalanan ke klinik dermatologi. Setiap individu ada kulit yang unik.

Dalam artikel ini, kami memberikan beberapa tips terbaik tentang bagaimana untuk mencegah jerawat dan mendapatkan kulit yang bersih dan sihat.

1. Tips Mencegah Jerawat Pertama – Cuci wajah anda setiap hari

Tips mencegah jerawat yang pertama merupakan peraturan yang paling penting bagi mendapatkan kulit yang sihat. Cuci muka anda sekurang-kurangnya 2 kali dalam sehari dengan menggunakan pencuci muka. Sekiranya anda berasa terlalu letih untuk mencuci muka anda, anda boleh menggunakan kapas muka yang dituang dengan ‘micellar water’ setiap malam.

Dengan cara ini, jika anda lewat sampai ke rumah, anda boleh membersihkan muka tanpa pergi ke sinki. Walau bagaimanapun, gabungan micellar water dan pencuci muka adalah cara yang terbaik untuk membersihkan wajah anda bagi menghilangkan 99.9% kotoran di permukaan kulit wajah. Kaedah yang terkenal ini digelar sebagai, ‘double-cleansing’. Caranya adalah, anda membersihkan wajah menggunakan micellar water terlebih dahulu, seterusnya disambung dengan pencuci muka dan bilas dengan air bersih.

2. Gunakan pencuci muka yang sesuai

Terdapat beberapa kriteria yang perlu anda tahu sebelum membeli pencuci muka. Menggunakan pencuci muka sebarangan tidak semestinya akan memperbaiki kulit anda. Anda harus beri tumpuan kepada kiriteria seperti keperluan kulit anda dan bahan kandungannya. Sebagai contoh sekiranya anda memiliki kulit berminyak, anda boleh memilih produk yang mengandungi bahan seperti asid salisilik, benzoil peroksida, atau asid glikolik.

Untuk kulit yang sensitif pula, carilah pencuci wajah yang mengandungi asid laktik atau bahan yang boleh menghidrat kulit seperti gliserin.

3. Jangan skrub wajah anda terlalu kerap

Mencuci wajah anda menggunakan skrub boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan kepada kulit wajah anda. Apabila ia dilakukan dengan terlalu kerap, ia boleh merosakkan lapisan kulit anda dan mengakibatkan kemerahan, keradangan dan kerengsaan. Pengelupasan kulit wajah boleh menjejaskan kulit yang sihat serta meningkatkan risiko untuk parut terbentuk pada kulit wajah anda. Oleh itu, penggunaannya harus dihadkan sebanyak 2-3 kali dalam seminggu.

4. Mengubah tuala wajah anda secara berkala

Menggunakan tuala yang kotor boleh membiakkan bakteria serta memperkenalkan bakteria baru pada kulit anda, yang boleh menyebabkan lebih banyak pertumbuhan jerawat. Tetapi, ini tidak bermakna anda perlu menukar tuala baru setiap kali anda mencuci muka anda. Selagi anda telah mencuci semua solekan dengan bersih sebelum mengelap muka anda menggunakan tuala wajah, anda boleh menukar tuala anda setiap minggu.

5. Guna pelembap muka

Anda bimbang jika produk pelembap anda akan membuatkan jerawat anda menjadi lebih teruk? Sebenarnya, fungsi pelembap muka adalah ia membantu dalam memperbaiki lapisan kulit anda. Misalnya, sekiranya kulit anda kering dan mengalami dehidrasi, kelenjar minyak dalam kulit akan memberi isyarat untuk mengeluarkan terlalu banyak minyak sehingga boleh menjadikan masalah jerawat lebih teruk.

Penghidratan pada permukaan kulit boleh mengimbangi semula kelenjar minyak justeru mengawal jerawat dan mempercepatkan pemulihan. Apabila membeli produk pelembap, anda disyorkan untuk mencari pelembap yang ringan, berasaskan minyak yang tidak akan menyumbat liang-liang pori anda. Pelembap muka yang seimbang dengan kadar pH yang rendah boleh membantu meredakan jerawat anda.

6. Gunakan pelindung matahari yang tidak menyumbat liang pori

Walaupun pelindung matahari adalah satu kewajipan, namun begitu, sebahagian pelindung cahaya matahari juga boleh menggalakkan pertumbuhan jerawat. Seharusnya, carilah pelindung matahari dengan formulasi bebas minyak dan bukan komedogenik yang tidak akan menyumbat liang pori

7. Ubah diet anda

Fakta ini sedih tetapi ia benar: Makanan yang manis dan boleh meningkatkan tahap insulin dalam badan dan boleh mengakibatkan keradangan serta jerawat. Sebaliknya, sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan yang kaya dengan antioksidan dan nutrien boleh meredakan keradangan dan meningkatkan kualiti kulit anda.

Kajian telah menunjukkan bahawa individu yang mempunyai jerawat mempunyai kadar pengeluaran minyak yang tinggi dan tahap antioksidan yang lebih rendah. Seeloknya, hadkan pengambilan produk tenusu yang mengandungi hormon dan antibiotik yang boleh memperburukkan keadaan jerawat anda. Makanlah makanan yang boleh mencantikkan kulit seperti telur, kekacang, dan quinoa.

8. Minum banyak air kosong

Baiklah. Minum sebanyak 8 gelas air sehari tidak boleh melicinkan kulit muka secara serta-merta. Tetapi, minum air dengan jumlah yang banyak boleh meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan. Tambahan lagi, ia tidak akan menjejaskan jerawat anda seperti apa yang diakibatkan oleh gula dan kafein yang terdapat dalam soda dan kopi.

9. Minum secawan teh pudina 2 kali sehari

Cubalah minum teh spearmint. Teh pudina dipercayai boleh mengurangkan jerawat sekiranya diminum sebanyak 2 cawan dalam sehari. Secara semulajadinya, teh pudina mengandungi bahan antiradang dan dipercayai boleh mengurangkan tahap hormon testosteron dalam badan seseorang. Walaupun masih tidak jelas bagaimana khasiatnya berfungsi, ia boleh menjadi salah-satu rawatan tambahan alami untuk jerawat yang disebabkan oleh hormon.

10. Tukar sarung bantal anda

Cadar dan sarung bantal yang tidak dicuci boleh menyebabkan pencemaran bakteria yang boleh membawa kepada pembentukan jerawat. Anda disyorkan untuk mencuci cadar dan sarung bantal anda sebanyak 1 kali dalam 2 minggu bagi menghalang pembiakan bakteria yang boleh menjejaskan kulit anda. Sekiranya ia sukar untuk dilakukan, anda boleh memilih untuk membasuh sarung bantal sahaja seminggu sekali apatah lagi, di situlah tempat anda merehatkan muka ketika tidur.

11. Pastikan skrin telefon anda bersih

Dalam sehari, agak-agak berapa kalikah anda menyentuh skrin telefon anda? Sudah tentu, skrin telefon akan menjadi sangat kotor. Sebaiknya, bersihkan skrin telefon anda menggunakan ‘tisu alkohol’. Jika boleh, gunakan speaker pembesar atau fon kepala ketika bercakap dalam telefon supaya skrin telefon anda tidak menyentuh wajah anda dengan kerap.

12. Jauhi tabiat menyentuh muka dengan tangan

Salah satu petua yang paling asas untuk menghilangkan jerawat adalah untuk mengawal tangan anda daripada menyentuh wajah. Tangan anda tidak selalunya bersih kerana kotoran di bawah kuku anda dan apabila memicit jerawat dengan cara yang tidak betul, ia boleh menyebabkan jerawat membiak atau membawa kepada jangkitan bakteria pada jerawat yang boleh memburukkan keadaan. Bukan itu sahaja, tabiat memicit jerawat juga boleh meninggalkan kesan luka yang bertahan lebih lama daripada jerawat anda.

13. Letakkan ais pada jerawat anda untuk mengurangkan bengkak

Jika anda benar-benar perlu melakukan sesuatu terhadap jerawat anda selain membasuh wajah dan merawat kesan parut, penggunaan ais boleh membantu mengurangkan keradangan. Balut kiub ais dalam tisu lembut atau kain dan letakkannya pada jerawat anda selama 20-30 saat pada satu-satu masa, beberapa kali sehari.

Sekiranya anda berada dalam waktu kecemasan, seperti perkahwinan dan sebagainya, anda juga boleh bertemu dengan ahli dermatologi untuk mendapatkan suntikan kortison yang boleh membantu mengecutkan sista dengan cepat dalam satu atau dua hari.

14. Jangan sapu ubat gigi atau ‘rubbing alcohol’ pada jerawat

Pasti anda semua pernah dengar mengenai mitos bahawa ubat gigi atau ‘rubbing alcohol’ boleh mengeringkan jerawat, bukan? Walau bagaimanapun, kebanyakan remedi yang diwar-warkan seperti ini sebenarnya bukanlah cara terbaik merawat jerawat. Malah, menggunakan ubat gigi atau rubbing alcohol lebih cenderung menyebabkan kerengsaan dan kekeringan daripada merawat jerawat anda.

Sebaliknya, gunakanlah rawatan topikal yang telah tersedia di farmasi yang mengandungi asid salisilik atau benzoil peroksida yang khusus dihasilkan untuk merawat jerawat. Untuk rawatan secara semulajadi, anda boleh menyapu minyak tea tree pada kawasan yang terjejas dengan menggunakan kapas sebanyak beberapa kali dalam sehari.

Sumber

https://www.healthline.com/health/how-to-prevent-pimples

https://www.medicalnewstoday.com/articles/321411

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/acne/10-tips-for-preventing-pimples#1

error: Content is protected !!