Bila tarikh temu duga hampir tiba, makin gementar rasa. Dah lama kita nantikan panggilan temu duga daripada syarikat yang diimpikan untuk bekerja. Ini ada tips temuduga mengenai 10 soalan temuduga kerja yang sering ditanya.
Apakah soalan-soalan yang sering ditanya oleh panel temu duga nanti? Mari semak antara soalan lazim yang akan ditanya ketika temuduga serta cara menjawab secara profesional.
10 SOALAN TEMUDUGA KERJA YANG PALING SELALU DITANYA
1. CERITAKAN SERBA SEDIKIT TENTANG DIRI ANDA
Soalan ini amat penting kerana ia merupakan ‘first impression’ bakal majikan tentang anda. Seeloknya, ceritakan tentang diri anda secara ringkas dan tak perlu ceritakan semula semua perkara yang anda dah tuliskan dalam resume. Janganlah pergi baca alamat rumah atau senaraikan nama sekolah dari darjah 1 sampai universiti semua. Panel tak ada masa nak dengar semua maklumat ni!
Jadi, antara yang panel nak dengar adalah:
- Pencapaian
- Bakat istimewa
- Keunikan anda
Kaitkan ketiga-tiga perkara ini dengan kriteria yang diinginkan dalam peranan jawatan tersebut contohnya pengalaman anda yang banyak dalam bidang itu atau projek-projek menarik yang anda pernah terlibat sebelum ini.
Lagi satu, elakkan bercerita tentang perkara remeh seperti hobi atau minat yang tiada kena mengena dengan kerja yang dimohon.
2. KENAPA NAK BEKERJA DI SINI?
Walaupun nampak ‘simple’, tapi sebenarnya soalan ini agak ‘tricky’. Ia boleh dikatakan antara yang paling mencabar. Jawapan anda mencerminkan pengetahuan anda tentang jawatan yang ditawarkan atau syarikat yang dimohon.
Jadi, kena ambil tahu juga serba sedikit tentang post yang dimohon dan skop kerja yang dijangkakan. Kalau tahu tentang syarikat pun lebih baik, terutamanya jika ia sebuah syarikat besar.
3. PERANAN DI TEMPAT KERJA DAHULU
Bagi yang pernah bekerja di tempat lain sebelum ini, huraikan tanggungjawab anda dalam jawatan yang lalu dan secara spesifik dan positif. Cuba kaitkannya dengan jawatan yang dimohon sekarang. Dengan cara ini, para panel dapat menilai pengalaman serta kematangan anda. Ia juga akan membuatkan bakal majikan faham setakat mana pendedahan anda terhadap bidang kerja yang telah diceburi.
Kalau ada sesuatu yang penting dan belum anda kuasai, yakinkan mereka bahawa anda bersedia untuk mempelajarinya. Jangan pula pandai-pandai menambah dan mereka cerita sebab nanti kalau diambil kerja tapi tak tahu buat apa yang dikatakan masa temuduga, kan ke naya!
4. APA YANG DILAKUKAN SEMASA MENGANGGUR
Ada yang menganggur sampai berbulan-bulan lamanya dan inilah temuduga pertama yang anda berjaya dapat. Tak mengapa sebab rezeki masing-masing. Cuma jangan biarkan bakal majikan menganggap anda membuang masa selama tempoh itu.
Anda juga boleh beri alasan yang anda memanfaatkan masa tersebut dengan melakukan aktiviti yang sudah lama anda inginkan seperti travel, tolong urus mak ayah, kerja part time atau melibatkan diri dengan kerja-kerja amal.
5. APAKAH KELEBIHAN ANDA JIKA DIBERI JAWATAN INI
Soalan ini adalah antara yang kerap ditanya penemu duga. Panel sebenarnya dah tahu latarbelakang setiap calon berdasarkan resume. Cuma mereka nak uji sama ada anda benar-benar bersungguh-sungguh dan punya ‘sesuatu’ untuk dibuktikan berbanding calon-calon lain.
Maka sekiranya kurang pengalaman, tak perlu ‘gebang’ macam-macam. Cukup dengan meyakinkan panel bahawa anda mahu belajar dan melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang memegang jawatan tersebut.
6. EXPECTED SALARY
Panel penemu duga biasanya mengharapkan calon temuduga untuk meletakkan nilai gaji walaupun inilah kali pertama anda bekerja. Boleh research dan tengok gaji semasa bagi jawatan yang dipohon. Gaji juga bergantung pada lokasi pejabat.
Tak salah nak minta gaji yang tinggi, tapi biarlah berpadanan dengan skil, kemahiran serta etika kerja yang dimiliki.
7. CARA MENANGANI STRES
Kadang-kadang majikan nak tahu juga kebolehan seseorang untuk bekerja dalam keadaan yang tertekan atau stres. Contoh jawapan yang baik :
- “Saya cuba fokus pada tindakan yang perlu diambil untuk mengawal situasi tersebut. Dengan cara ini, rasa bimbang dapat diatasi dan stres dapat dicegah.”
- “Secara peribadi, saya melegakan tekanan dengan mengamalkan riadah beberapa hari seminggu.”
8. CONTOH SITUASI KERJA MENCABAR DAN CARA MENANGANINYA
Tiada betul atau salah bagi soalan seperti ini. Soalan ini adalah untuk para penemu duga menguji cara anda berhadapan dengan situasi sukar. Ia juga dapat menjelaskan sedikit sebanyak tentang cara anda bertindak dalam keadaan kritikal jika diambil bekerja pada masa hadapan.
Berikan contoh kukuh tentang situasi yang anda pernah hadapi serta cara anda tangani masalah tersebut. Pastikan jawapan tersebut memberikan impak positif kepada diri.
9. KENAPA NAK BERPINDAH TEMPAT KERJA
Soalan ini juga kerap ditanya dan perlu dijawab secara profesional. Jika anda berhenti kerja dahulu atas keinginan sendiri, dipecat mahupun diberhentikan, berikan jawapan yang jujur, namun tukarkan kenyataan supaya ia tidak menunjukkan sebarang ‘dendam’ atau aura negatif.
Kalau nak selamat, tak perlu ulas panjang. Cuma nyatakan perancangan masa depan anda untuk memulakan karier baru di tempat kerja tersebut.
10. PERANCANGAN MASA HADAPAN
Panel biasanya nak tengok juga sama ada anda punya perancangan masa depan lebih besar yang ingin dicapai dalam bidang kerja. Jadi cuba kaitkan matlamat masa depan yang dirancang dengan syarikat tersebut. Contohnya anda ingin menduduki peperiksaan profesional atau terlibat dengan projek mega.
Ini menunjukkan bahawa anda berminat untuk membina karier dan mahu berkhidmat lama di syarikat tersebut.
PENTING BUAT PERSEDIAAN AWAL
Pada hari temu duga nanti, jadilah diri anda sendiri. Pastikan anda berpenampilan kemas dan sopan. Panel penemu duga bukan sahaja mengambil kira cara anda menjawab soalan-soalan yang diajukan, malah mereka juga melihat pada persediaan, penampilan, serta isyarat bahasa tubuh yang meyakinkan.
Semoga soalan-soalan ini memberi sedikit gambaran tentang apa yang bakal ditanya ketika temuduga. Ingat, jangan mudah gugup atau hilang semangat semasa temu duga. Beranikan diri dan serlahkah kesungguhan anda!
Sumber:
1) https://siraplimau.com/tips-temuduga-kerja-soalan-lazim/
2) https://iluminasi.com/bm/tips-untuk-berjaya-semasa-temuduga.html