TUDM: Sejarah Penubuhan, Visi, Misi & Syarat Kelayakan
Tahukah anda, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mula ditubuhkan pada pada hari Isnin, 2 June 1958? Ia ditubuhkan apabila Ordinan Tentera Udara telah berjaya diluluskan oleh Parlimen. Pada awal penubuhan, TUDM dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan.
Pada waktu tersebut (penubuhan awal TUDM), seorang pegawai Tentera Udara Diraja British (RAF) iaitu Air Commodore A.V.R. Johnstone telah ditugaskan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Selepas itu, beliau telah dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Udara yang pertama. Beliau merupakan angkatan tentera yang termuda pada waktu itu.
Antara tanggungjawab beliau sebagai Ketua Turus Tentera Udara yang pertama ialah, merangka penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan bagi negara yang baru merdeka dari segi organisasi, sumber manusia, aset dan syarat-syarat perkhidmatan. Anggota terawal TUDM pada waktu itu terdiri daripada pegawai dan anggota yang dipinjamkan daripada Tentera Udara Diraja British.
Anggota Perintis TUDP (Tentera Udara Diraja Persekutuan) 1958
Selepas beberapa bulan penubuhan, sekumpulan pegawai dan anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan telah dilantik pada bulan November 1958.
Antara rakyat Malaysia yang menjadi tenaga penggerak terawal untuk organisasi TUDM ialah, Flying Officer Li Heng Lip, Sergeant Subramaniam, Corporal Razi Osman, Corporal Othman Mohd Ismail, Corporal Wan Said, Sorporal J D Pasley, Corporal Mahevan, Senior Aircraftsman (SAC) Surindran, SAC Md Noor, SAC Zainal Abidin, SAC Mohd Hussain dan Junior Technician (JT) Ismail Arifin.
Tugas Anggota Perintis TUDP (Tentera Udara Diraja Persekutuan)
Tugas awal yang diamanahkan kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan pada ketika itu ialah untuk memberikan perkhidmatan perhubungan melalui udara dan membantu pasukan keselamatan menjalankan operasi memerangi komunis yang mengancam negara.
Pengisytiharan Nama TUDM
Nama angkatan tentera udara iaitu Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP) telah di tukar ke Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Sehingga kini, angkatan tentera udara Malaysia dikenali sebagai TUDM, Tentera Udara Diraja Malaysia.
Visi & Misi
Visi utama TUDM ialah, “Kuasa udara yang unggul”. Ini membawa erti yang amat mendalam iaitu, mempunyai kekuatan yang tiada tandingannya ketika berada di udara. Manakala misi TUDM ialah, untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara serta kepentingannya melalui penggunaan kuasa udara yang berkesan.
Peranan TUDM
Pernah tak terfikir, apa sebenarnya peranan TUDM? Negara kita telah aman, maka pertempuran udara tidak berlaku lagi.
Secara keseluruhannya, angkatan TUDM berfungsi untuk menyediakan, mengendali dan menggerakkan satu angkatan udara yang sentiasa bersedia dan berkemampuan untuk menonjolkan kekuatan kuasa udara demi memelihara dan menjaga kepentingan negara.
TUDM juga berperanan untuk melaksanakan tugas-tugas yang disenaraikan seperti berikut:
- Pengawalan ruang angkasa untuk digunakan bagi tujuan damai disamping menghalang penggunaannya oleh pihak musuh. Ia melibatkan “offensive airstrike“, “defensive counter-air” dan operasi “defensive suppressive“.
- Menangani ancaman musuh di permukaan sama ada di bumi ataupun di udara. Ia melibatkan serangan strategik, operasi dan serangan maritim.
- Menambahkan keupayaan di udara dan di darat yang melibatkan misi pengisian minyak di udara, pengawasan dan tinjauan, misi mengangkut, “electronic counter measure” dan operasi menyelamat kombat udara.
- Melaksanakan apa-apa jenis operasi dengan jayanya. Ia melibatkan pertahanan pangkalan, sokongan logistik dan sokongan pangkalan bagi memberi perkhidmatan penting kepada organisasi dan anggota.
Berikut ialah nilai-nilai teras yang menjadi pegangan seorang angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia. Nilai-nilai teras inilah yang membentuk peribadi dan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan TUDM.
Antara nilai-nilai teras tersebut adalah; Integriti, Keberanian, Keunggulan, Setia Kawan, Mengutamakan Perkhidmatan.
Syarat Kelayakan Akademik Untuk Menjadi Angkatan TUDM
Pada masa kini, kerjaya sebagai anggota TUDM menjadi salah satu kerjaya rebutan untuk generasi muda. Sebelum memohon ada baiknya anda semak dulu syarat kelayakan akademik di bawah ini agar permohonan anda tidak ditolak.
Syarat kelayakan akademik bagi permohonan kategori Pegawai Kadet Graduan adalah IJAZAH yang mana jurusan yang dikehendaki adalah merujuk kepada keperluan semasa perkhidmatan dan ia tidak terdapat didalam UPNM. Manakala, syarat kelayakan akademik bagi permohonan kategori Pegawai Kadet UPNM adalah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM.
Sebelum ini, pihak TUDM turut menerima kelayakan Diploma, namun ia telah dimansuhkan. Maka, individu yang mempunyai kelulusan Diploma sahaja, tidak melepasi syarat untuk memohon sebagai Pegawai Kadet Graduan.
Anda boleh menggunakan kelulusan SPM anda untuk memohon Pegawai Kadet UPNM dan seterusnya, memperoleh Ijazah bagi memohon Pegawai Kadet Graduan.
Selain itu, untuk permohonan sebagai Perajurit Muda, anda mestilah mempunyai kelulusan akademik SPM atau Diploma yang mana jurusan yang dikehendaki adalah merujuk kepada keperluan semasa perkhidmatan.
Permohonan Perajurit Muda melalui kelayakan akademik kelulusan PMR telah dimansuhkan.
Bagi sesiapa yang tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan anda akan ditolak serta merta.
Kesimpulan
Tentera Udara Diraja Malaysia, merupakan salah satu elemen penting dalam Angkatan Tentera Malaysia yang turut bersama-sama membantu dan memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
Setiap anggotanya wajar dihargai dan dihormati atas jasa-jasa yang mereka telah lakukan demi negara Malaysia tercinta.
Sumber: