Tumor saraf atau ‘Paraganglioma’ adalah tumor yang jarang berlaku dan bermula pada sel-sel saraf tertentu yang tersebar di seluruh badan. Tumor ini boleh menyerang individu dari segala usia tetapi paling kerap muncul antara usia 30 hingga 50 tahun. Tumor ini selalunya lambat tumbuh dan tidak bersifat kanser (jinak). Namun, ia boleh menyerang bahagian tubuh yang berdekatan, menjadi kanser (ganas) dan merebak lebih jauh (metastasize).
Simptom Tumor Saraf
Dalam sesetengah kes Paraganglioma, sel-sel abnormal menghasilkan hormon yang digelar catecholamines atau adrenalin, iaitu hormon lawan atau lari (fight or flight). Keadaan ini boleh mengakibatkan pesakit mengalami tekanan darah tinggi, degupan jantung yang laju, kulit kemerahan, berpeluh, sakit kepala dan gegaran.
Pilihan rawatan pertama bagi penyakit ini adalah melalui pembedahan. Sekiranya tidak dirawat, tumor saraf boleh mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk atau mengancam nyawa sehingga menyebabkan rawatan pembedahan bukan lagi satu pilihan. Pada individu yang mempunyai kanser tumor saraf yang telah merebak jauh dari tempat asalnya, ubat-ubatan dan rawatan lain boleh mengawal penyakit ini dan simptomnya malahan meningkatkan jangka hayat pesakit.
Diagnosis Tumor Saraf
Sekiranya doktor anda mengesyaki anda menghidap tumor saraf, beliau akan merujuk anda kepada pakar kanser (ahli onkologi perubatan), pakar sistem endokrin (endocrinologist) atau pakar bedah.
Anda mungkin akan menjalani beberapa ujian:
• Ujian air kencing 24 jam. Anda akan diminta untuk mengumpul sampel air kencing setiap kali anda buang air kecil sepanjang tempoh 24 jam. Sampel akan digunakan untuk menilai ekskresi hormon di dalam air kencing. Anda akan diberikan arahan bertulis tentang cara menyimpan, melabel dan mengembalikan sampel.
• Ujian darah. Anda mungkin akan menjalani ujian darah untuk diuji di makmal dan penilaian tahap hormon. Berundinglah dengan doktor anda mengenai persediaan khas, seperti berpuasa atau pengambilan ubat. Jangan melangkaui dos ubat tanpa arahan khusus daripada doktor anda.
• Ujian pengimejan. Doktor anda akan menjalankan satu atau lebih ujian pengimejan untuk mengesan lokasi tumor secepat mungkin. Ujian ini termasuklah MRI, imbasan CT dan pengimejan perubatan nuklear khusus seperti imbasan PET.
• Ujian Genetik. Kadangkala, tumor saraf berlaku dalam kalangan keluarga. Ia dikaitkan dengan gen berubah yang boleh disebarkan melalui ibu bapa kepada anak. Sekiranya gen tersebut dikesan, doktor akan mengesyorkan anda berjumpa dengan kaunselor genetik.
Rawatan Tumor Saraf
Rawatan tumor saraf bergantung kepada di lokasi tumor abnormal dan jenisnya, sama ada kanser atau bukan kanser. Ia dianggap kanser (malignan) sekiranya ia tersebar ke bahagian badan lain (metastasizes). Namun begitu, keadaan ini jarang berlaku pada pesakit yang menghidap tumor saraf.
Sel-sel kanser Paraganglioma boleh merebak ke nodus limfa, tulang, hati, paru-paru atau tempat-tempat lain. Bagi pesakit yang mengalami tumor saraf jenis ini, adalah amat penting untuk mereka merawat sebarang tahap hormon yang tinggi dan simptom-simptom lain.
Pilihan rawatan termasuklah:
• Ubat-ubatan. Doktor akan cuba untuk mengawal simptom yang disebabkan oleh tumor saraf, seperti Tekanan Darah Tinggi (jika anda mempunyai jenis tumor saraf yang menghasilkan hormon). Ubat-ubatan yang boleh membantu pesakit dengan keadaan ini termasuklah penyekat alpha dan penyekat beta. Ia adalah penting untuk mengawal tekanan darah mereka sebelum menjalani pembedahan atau terapi lain.
• Pembedahan. Pembedahan untuk membuang tumor biasanya merupakan rawatan pilihan pertama. Jika tumor telah tersebar, pembedahan masih boleh dijalankan untuk mengurangkan saiznya.
Sekiranya tisu tumor saraf yang menghasilkan hormon terganggu, sebagai contoh, semasa pembedahan, tumor akan mengeluarkan hormon dan ini boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti tekanan darah dan nadi meningkat. Bagi mengelakkannya, doktor akan menyediakan anda sebelum pembedahan dengan memberi ubat-ubatan untuk menghalang kesan hormon selama 7 hingga 14 hari sebelum pembedahan.
Anda juga mungkin diminta untuk merekodkan tekanan darah anda beberapa kali dalam sehari, mengikuti diet natrium yang tinggi dan seterusnya melaporkan keputusan tekanan darah anda kepada pasukan perubatan anda.
Pembedahan tumor saraf dilakukan di bawah pengaruh anestesia umum. Pakar bedah dan ahli anestesia perlu sama-sama terlibat dalam menjalankan pembedahan. Anda juga mungkin perlu tinggal di hospital selama beberapa hari selepas pembedahan. Walaupun pembedahan telah berjaya membuang tumor, tumor boleh berulang kembali. Oleh itu, anda perlu kerap berjumpa dengan doktor anda untuk temujanji susulan.
• Terapi radiasi. Terapi radiasi digunakan untuk membantu mengawal pertumbuhan tumor saraf dan memperbaiki simptom anda jika pilihan lain, seperti pembedahan, tidak disyorkan. Sekiranya lokasi tumor adalah di kepala, berhampiran saraf penting atau saluran darah, satu teknik yang dikenali sebagai terapi radiasi badan stereotaktik akan digunakan bagi menghadkan kerosakan kepada tisu berdekatan yang sihat.
Sumber:
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/paraganglioma/cdc-20352970
https://www.cancer.gov/types/pheochromocytoma/patient/pheochromocytoma-treatment-pdq
https://columbiasurgery.org/conditions-and-treatments/paraganglioma