Ulser peptik adalah luka yang terbentuk di bahagian dalam perut anda dan bahagian atas usus kecil anda. Sakit perut merupakan tanda-tanda biasa bagi ulser peptik.
Jenis Ulser Peptik:
- Ulser gastrik yang berlaku di bahagian dalam perut.
- Ulser duodenum yang berlaku di bahagian dalam atas usus kecil anda (duodenum).
Punca Ulser Peptik
Ulser peptik berlaku apabila terdapat asid dalam saluran penghadaman dan asid itu memakan permukaan dalaman perut atau usus kecil. Asid ini boleh menyebabkan luka yang menyakitkan dan boleh berdarah.
Terdapat lapisan lendir pada saluran pencernaan anda yang biasa melindunginya daripada asid. Tetapi, jika jumlah asid meningkat atau jumlah lendir berkurangan, ulser boleh terbentuk.
Penyebab ulser peptik yang biasa termasuklah:
- Bakteria. Bakteria Helicobacter pylori biasanya hidup dalam lapisan lendir yang meliputi dan melindungi tisu yang menyambungkan perut dan usus kecil. Selalunya, bakteria ini tidak menimbulkan masalah, tetapi ia boleh menyebabkan keradangan lapisan dalaman perut lalu menghasilkan ulser.
Ianya masih tidak jelas bagaimana jangkitan H. pylori merebak. Jangkitan ini mungkin boleh disebarkan melalui sentuhan seperti bercium. Bakteria H. pylori juga boleh merebak melalui makanan dan air.
- Penggunaan ubat tahan sakit yang kerap. Pengambilan aspirin, serta ubat tahan sakit yang tidak dipreskripsi atau yang dipreskripsi tertentu yang dikenali sebagai ubat anti-radang tanpa steroid (NSAID) boleh merengsakan atau merosakkan lapisan perut dan usus kecil anda. Ubat-ubatan ini termasuklah ibuprofen (Advil, Motrin IB, lain-lain), naproxen natrium (Aleve, Anaprox, lain-lain), ketoprofen dan lain-lain. Namun begitu, ubat-ubat ini tidak termasuk acetaminophen (Tylenol).
Ulser peptik biasanya terjadi pada orang dewasa yang berumur dan mengambil ubat tahan sakit ini dengan kerap atau seseorang yang mengambil ubat-ubatan ini untuk tujuan penyakit osteoartritis.
- Pengambilan ubat-ubatan lain. Mengambil ubat-ubatan lain bersama NSAID, seperti steroid, antikoagulan, aspirin dengan dos rendah, perencat selektif pengambilan semula serotonin (SSRI), alendronate (Fosamax) dan risedronate (Actonel) boleh meningkatkan peluang mendapat ulser peptik.
Simptom Ulser Peptik
Penyebab utama ulser peptik adalah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) dan penggunaan aspirin dan ubat anti-radang tanpa steroid (NSAID) (Advil, Aleve, dan yang lain) dalam jangka masa yang panjang. Tekanan dan makanan pedas dikatakan tidak menyebabkan ulser peptik. Walau bagaimanapun, mereka boleh menyebabkan simptom anda menjadi lebih teruk.
Ianya bukanlah suatu perkara yang ganjil sekiranya pesakit ulser peptik tidak menunjukkan sebarang gejala. Walau bagaimanapun, salah satu daripada gejala-gejala paling biasa dirasai ialah sakit seperti senak.
Kesakitan mungkin terjadi di mana-mana bermula dari bahagian pusat sehingga tulang dada. Ia boleh berlaku sekejap sahaja atau berlanjutan berjam-jam lamanya. Selain itu, ianya menjadi lebih teruk apabila perut tidak diisi atau sejurus selepas makan (bergantung kepada di mana ia terletak) dan kadang kala menjadi lebih teruk semasa tidur. Pengambilan makanan tertentu boleh melegakannya manakala ada sesetengah makanan boleh menjadikannya lebih teruk.
Gejala-gejala lain termasuklah:
- Sakit perut yang terasa seperti terbakar.
- Rasa kenyang, kembung atau sendawa.
- Tiada toleransi terhadap makanan berlemak.
- Pedih ulu hati.
- Loya.
- Kesukaran menelan makanan.
- Makanan yang dimakan seperti naik ke tekak semula.
- Berasa tidak sihat selepas makan.
- Penurunan berat badan.
- Hilang selera makan.
Ubat yang tidak dipreskripsi selalunya dapat memberikan kelegaan kepada gejala-gejala ini. Ianya sangat jarang sekiranya ulser itu boleh menyebabkan tanda-tanda dan gejala yang teruk seperti:
- Muntah darah.
- Najis hitam atau najis dengan darah berwarna merah pekat.
- Loya dan muntah yang berterusan dan teruk.
Gejala-gejala ini menunjukkan gejala yang kritikal. Jadi, pesakit harus segera berjumpa dengan doktor.
Diagnosis Ulser Peptik
Gejala ulser peptik boleh menyerupai gejala penyakit lain seperti batu hempedu atau penyakit refluks gastroesofagus, yang biasanya dipanggil GERD. Ianya sangat penting untuk individu mendapatkan diagnosis yang betul.
Seorang doktor mungkin bertanya tentang sejarah perubatan seseorang dan pengambilan ubat-ubatan yang terkini. Mereka juga akan bertanya tentang gejala dan lokasi di mana kesakitan itu dirasai.
Pelbagai ujian boleh membantu untuk mengesahkan diagnosis. Doktor mungkin akan menguji darah, najis atau nafas untuk memeriksa tanda-tanda jangkitan bakteria H. pylori.
Selain itu, doktor juga boleh melakukan endoskopi untuk mencari ulser. Tiub nipis dengan kamera dimasukkan ke dalam kerongkong dan ke dalam perut serta bahagian atas usus kecil.
Dalam sesetengah kes, doktor juga boleh mengesyorkan ujian menelan barium. Ini melibatkan penelanan cecair yang mengandungi barium. Barium dikatakan membantu doktor melihat saluran usus dengan lebih jelas pada sinar-X perut.
Faktor Risiko Ulser Peptik
Selain pengambilan ubat anti-radang tanpa steroid (NSAID), anda mungkin mengalami peningkatan risiko ulser peptik jika anda:
- Merokok. Merokok boleh meningkatkan risiko ulser peptik pada seseorang yang dijangkiti H. pylori.
- Mengambil minuman beralkohol. Alkohol boleh merengsakan dan menghakis lapisan lendir perut anda, dan ia meningkatkan jumlah asid perut yang dihasilkan.
- Mempunyai tekanan yang tidak dirawat.
- Makan makanan yang pedas.
Faktor-faktor ini tidak menyebabkan kemunculan ulser, tetapi boleh menyebabkan ulser itu menjadi lebih teruk dan sukar dirawat.
Rawatan Ulser Peptik
Bagi kebanyakan orang, rawatan akan melibatkan pengambilan ubat yang boleh mengurangkan jumlah asid dalam perut atau melindungi lapisan perut dan duodenum.
Ubat-ubatan ini mungkin termasuk dalam kategori berikut:
- Proton pump inhibitors (PPI), termasuk omeprazole, pantoprazole, dan lansoprazole.
- Antagonis H2-reseptor termasuk ranitidine, famotidine dan cimetidine.
- Protectant seperti sucralfate.
- Antacid seperti kalsium karbonat dan sodium bikarbonat.
Sekiranya jangkitan H. pylori yang menyebabkan ulser tersebut, doktor mungkin mempreskripsikan antibiotik untuk membunuh bakteria itu. Mereka juga boleh mempreskripsikan ubat-ubatan yang membantu menghalang asid perut yang berlebihan seperti proton pump inhibitors (PPI).
Jika ubat-ubatan lain seperti ubat anti-radang tanpa steroid (NSAID) telah menyebabkan berlakunya ulser tersebut, doktor mungkin akan mempreskripsikan (proton pump inhibitors) PPI atau mengkaji semula keperluan ubat itu.
Sesetengah doktor juga akan mengesyorkan individu mengurangkan atau menguruskan tekanan dengan lebih baik.
SUMBER
https://www.webmd.com/digestive-disorders/peptic-ulcer-overview
https://www.healthline.com/health/stomach-ulcer
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/peptic-ulcer/symptoms-causes/syc-20354223