Now Reading
Uristat (Keradangan Saluran Kencing) – Kegunaan, Amaran Penggunaan, Kesan Sampingan, Kontraindikasi, Interaksi dan Dos

Uristat (Keradangan Saluran Kencing) – Kegunaan, Amaran Penggunaan, Kesan Sampingan, Kontraindikasi, Interaksi dan Dos

uristat

Uristat adalah pewarna yang berfungsi sebagai ubat penahan sakit untuk menenangkan lapisan saluran kencing.

Kegunaan Uristat

Ubat ini digunakan untuk melegakan simptom yang terjadi disebabkan keradangan saluran kencing seperti rasa sakit, terbakar dan keperluan untuk membuang air kecil dengan segera atau kerap. Ia tidaklah merawat punca keradangan kencing, tetapi sekadar membantu melegakan simptom sementara rawatan lain memberi kesannya tersendiri.

Cara menggunakan Uristat

Minum ubat ini secara oral, biasanya 3 kali sehari selepas makan atau seperti yang diarahkan oleh doktor anda.

Langkah berjaga-jaga dan Amaran Penggunaan Uristat

Ubat ini boleh membuatkan anda pening. Arak atau dadah (ganja) boleh membuatkan anda bertambah pening. Jangan memandu, menggunakan peralatan atau mesin berbahaya, atau melakukan perkara yang memerlukan kewaspadaan tinggi sehingga anda dapat melakukannya dengan selamat. Hadkan pengambilan minuman beralkohol.

Uristat boleh mewarnai air kencing anda dan air mata hingga berubah menjadi warna merah jingga. Ini justeru boleh mengotorkan pakaian dan kanta lekap. Jadi, jangan pakai kanta lekap semasa menggunakan ubat ini. Jangan bimbang kerana air kencing dan air mata anda akan kembali ke warna asal setelah pengambilan ubat dihentikan.

Kesan sampingan Uristat

Sakit kepala, pening atau sakit perut mungkin berlaku. Sekiranya kesan ini berlanjutan atau bertambah buruk, beritahu doktor atau ahli farmasi anda dengan segera.

Maklumkan juga pada mereka sekiranya ada kesan sampingan yang jarang berlaku tetapi sangat serius seperti kulit / mata menjadi kuning, warna air kencing yang gelap, tanda-tanda masalah buah pinggang (seperti perubahan jumlah air kencing, kencing berdarah), sakit perut / abdomen, muntah, demam, menggigil, lebam / pendarahan, keletihan yang tidak diketahui punca, sesak nafas, degupan jantung yang cepat, sawan.

Reaksi alergi yang sangat serius terhadap ubat ini tidak mungkin berlaku, tetapi dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya ia berlaku. Gejala yang serius mungkin termasuk ruam, gatal / bengkak (terutama pada muka / lidah / tekak), pening teruk, kesukaran bernafas.

Kontraindikasi Uristat

Keadaan berikut dikontraindikasikan penggunaannya dengan uristat. Bertanyalah pada doktor anda jika anda mempunyai perkara berikut:

Keadaan:

  • kekurangan glukosa-6-fosfat dehidrogenase (G6PD)
  • keradangan hati yang seruis
  • glomerulonefritis
  • keadaan yang mempengaruhi buah pinggang
  • pengumpulan toksin dalam darah (uremia)
  • penurunan fungsi buah pinggang
  • anemia (kekurangan piruvat kinase dan G6PD)

Alahan:

  • Acetaminophen
  • Phenazopyridine

Interaksi Uristat

Uristat boleh mengganggu ujian makmal tertentu (termasuklah ujian air kencing untuk fungsi buah pinggang, bilirubin, dan kadar gula), yang mungkin menyebabkan hasil ujian palsu.

Ujian air kencing di rumah (termasuklah ujian diabetes) juga mungkin terjejas. Jadi, pastikan kakitangan makmal dan semua doktor anda mengetahui bahawa anda menggunakan ubat ini.

Dos Uristat

  • Tablet 100 mg: Purata dos dewasa – dua tablet 3 kali sehari selepas makan.
  • Tablet 200 mg: Purata dos dewasa – satu tablet 3 kali sehari selepas makan.

Apabila digunakan bersama dengan agen anti bakteria untuk rawatan jangkitan saluran kencing, pengambilan Uristat HCl tidak boleh melebihi tempoh 2 hari.

Sumber:

https://www.rxlist.com/uristat-drug.htm#dosage

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-5661/uristat-oral/details

error: Content is protected !!