Apakah itu vaksin MMR?
Vaksin MMR adalah vaksin 3 dalam 1 di mana antigen daripada 3 virus yang berlainan iaitu Beguk, Campak dan Rubella dimasukkan ke dalam botol tunggal untuk diberikan kepada kanak-kanak sebagai satu suntikan.
Virus dalam vaksin ini telah diubah menjadi lemah dan membolehkan ia berfungsi dengan memperbodohkan sistem pertahanan badan sehingga menganggapnya diserang oleh virus ketika suntikan diberikan dan menghasilkan antibodi. Antibodi ini digunakan untuk melawan keadaan ini sekiranya ia ditemui pada masa akan datang.
Perbezaan Campak, Beguk dan Rubella
Campak, beguk dan rubella adalah penyakit bawaan virus. Semua keadaan ini boleh menjadi sangat serius.
a) Campak
Campak bermula sebagai demam, batuk, hidung berair, konjungtivitis (pinkeye), dan ruam merah yang berada di wajah dan merebak ke seluruh badan. Sekiranya virus menjangkiti paru-paru, ia boleh menyebabkan keradangan paru-paru. Demam campak pada kanak-kanak yang lebih tua dapat menyebabkan keradangan otak, yang disebut sebagai ensefalitis di mana ua boleh mendorong kepada berlakunya kejang dan kerosakan otak.
b) Beguk
Virus beguk biasanya menyebabkan pembengkakan pada kelenjar tepat di bawah telinga, memberikan kemunculan pipi “chipmunk”. Sebelum adanya vaksin, penyakit beguk adalah penyebab yang paling biasa bagi kedua-dua meningitis (keradangan lapisan otak dan saraf tunjang) dan masalah pekak yang diperoleh. Pada individu lelaki, masalah beguk boleh menjangkiti testis, yang boleh menyebabkan kemandulan.
c) Rubella
Rubella juga dikenali sebagai demam campak Jerman. Ia boleh menyebabkan ruam ringan pada wajah, pembengkakan kelenjar di belakang telinga, dan dalam beberapa kes, pembengkakan pada sendi kecil dan demam dengan suhu rendah. Kebanyakan kanak-kanak cepat sembuh tanpa kesan yang berpanjangan. Tetapi, jika seorang wanita hamil mendapat rubella, ia boleh membawa malapetaka. Sekiranya dia dijangkiti pada trimester pertama kehamilan, terdapat kemungkinan sekurang-kurangnya 20% bahawa anaknya akan mengalami kecacatan kelahiran seperti buta, pekak, kecacatan jantung atau kecacatan intelektual.
Mengapa anda perlu dapatkan vaksin?
Campak, beguk dan rubella adalah penyakit virus yang boleh menyebabkan akibat yang serius. Sebelum vaksin, penyakit ini adalah sangat biasa di Amerika Syarikat, terutama di kalangan kanak-kanak. Malah, ia juga adalah antara penyakit yang biasa berlaku di banyak bahagian dunia.
- Virus campak boleh menyebabkan gejala seperti demam, batuk, hidung berair, dan mata merah, berair, biasanya diikuti dengan ruam yang menutupi seluruh tubuh.
- Virus campak boleh menyebabkan jangkitan telinga, cirit-birit, dan jangkitan paru-paru (keradangan paru-paru). Jarang sekali, demam campak boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian.
- Virus beguk boleh menyebabkan demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan kelenjar air liur yang bengkak dan lembut di bawah telinga di satu atau kedua-dua belah.
Bilakah dan bagaimana vaksin MMR diberikan?
Setiap individu harus mendapat 2 dos vaksin MMR, biasanya:
- Dos Pertama: Umur 12 hingga 15 bulan
- Dos Kedua: 6 hingga 7 tahun
Ia diberikan sebagai suntikan tunggal pada lengan (kanak-kanak yang lebih tua) dan paha (bayi).
Siapa yang harus mendapatkan vaksin MMR?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), usia yang disyorkan untuk mendapatkan vaksin MMR adalah:
- kanak-kanak berumur 12 hingga 15 bulan untuk dos pertama
- kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun untuk dos kedua
- orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas dan dilahirkan selepas tahun 1956 harus menerima satu dos, kecuali mereka dapat membuktikan bahawa mereka pernah menerima vaksin sebelum ini atau pernah mempunyai ketiga-tiga penyakit
Sebelum melakukan perjalanan ke luar negara, kanak-kanak berumur antara 6 hingga 11 bulan harus menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin. Mereka masih perlu mendapatkan kedua-dua dos setelah mencapai usia 12 bulan. Kanak-kanak berumur 12 bulan ke atas pula harus menerima kedua-dua dos sebelum perjalanan tersebut.
Seterusnya, sesiapa yang berumur 12 bulan atau lebih tua dan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos MMR tetapi dianggap berisiko lebih tinggi untuk mendapat beguk semasa berlakunya wabak harus menerima satu lagi vaksin beguk.
Dalam semua kes, dos harus diberikan sekurang-kurangnya dalam tempoh 28 hari.
Siapa yang tidak boleh mendapatkan vaksin MMR?
CDC memberikan senarai golongan yang tidak seharusnya mendapatkan vaksin MMR. Ia merangkumi individu yang:
- mempunyai reaksi alergi yang teruk atau mengancam nyawa terhadap ‘neomycin’ atau komponen vaksin yang lain
- mempunyai reaksi serius terhadap dos MMR atau MMRV yang lalu (campak, beguk, rubella, dan varicella)
- menghidap kanser atau sedang menerima rawatan kanser yang melemahkan sistem imun
- menghidap HIV, AIDS atau gangguan sistem imun yang lain
- menerima sebarang ubat yang mempengaruhi sistem imun, seperti steroid
- menghidap batuk kering
Di samping itu, anda mungkin mahu menangguhkan vaksinasi jika anda:
- kini mempunyai penyakit yang sederhana hingga parah
- sedang hamil
- baru melakukan transfusi darah atau mengalami keadaan yang membuatkan anda mudah berdarah atau lebam
- telah menerima vaksin lain dalam empat minggu terakhir
Apakah risiko reaksi vaksin yang boleh berlaku?
Dengan sebarang ubat, termasuk vaksin, terdapat kemungkinan reaksi yang boleh berlaku. Ini biasanya adalah ringan dan hilang sendiri, tetapi reaksi serius juga mungkin terjadi.
Mendapatkan vaksin MMR adalah jauh lebih selamat daripada mendapat penyakit campak, beguk atau rubella. Sebilangan besar individu yang mendapat vaksin MMR tidak menghadapi masalah dengannya.
Selepas vaksinasi MMR, seseorang mungkin mengalami:
- Sakit lengan disebabkan suntikan
- Demam
- Kemerahan atau ruam di tempat suntikan
- Pembengkakan kelenjar di pipi atau leher
Sekiranya kejadian ini berlaku, kejadian tersebut biasanya bermula dalam tempoh 2 minggu selepas menerima suntikan. Ini pula lebih jarang berlaku selepas dos kedua seperti:
- Kejang (tersentak atau menatap) yang sering dikaitkan dengan demam
- Kesakitan sementara dan kekakuan pada sendi, kebanyakannya pada wanita remaja atau dewasa
- Jumlah platelet rendah sementara, yang boleh menyebabkan pendarahan atau lebam yang tidak biasa
- Ruam ke seluruh badan
- Pekak
- Kejang jangka panjang, koma atau kesedaran yang rendah
- Kerosakan otak
Individu kadangkala boleh pengsan selepas menerima prosedur perubatan, termasuk vaksinasi. Duduk atau berbaring selama kira-kira 15 minit dapat membantu mencegah pengsan dan kecederaan akibat terjatuh. Beritahu doktor atau jururawat jika anda berasa pening, mengalami perubahan penglihatan atau rasa berdering di telinga.
Sebilangan orang mengalami sakit bahu yang boleh menjadi lebih teruk dan tahan lebih lama daripada sakit rutin yang boleh berlaku selepas suntikan. Ini adalah perkara yang jarang berlaku.
Apa-apa ubat boleh menyebabkan reaksi alergi yang teruk. Reaksi seperti itu biasanya sangat jarang berlaku, dan akan terjadi dalam beberapa minit hingga beberapa jam setelah menerima vaksinasi.
Seperti mana-mana ubat, terdapat kemungkinan yang sangat jarang di mana suntikan vaksin boleh menyebabkan kecederaan yang serius atau kematian.
SUMBER
https://medlineplus.gov/druginfo/meds/a601176.html
https://www.webmd.com/children/vaccines/measles-mumps-and-rubella-mmr-vaccine#1