Penggunaan ventilator COVID-19 amatlah penting terutamanya dalam kes COVID-19 yang semakin meningkat saban hari. Namun, kekurangannya semakin membimbangkan. Kekurangan ventilator boleh meletakkan nyawa individu yang positif COVID-19 dalam risiko, jadi pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia sedang cuba melakukan segala yang boleh untuk mendapatkan lebih banyak alatan ini. Ia termasuklah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memerlukan lebih banyak mesin ventilator COVID-19 bagi menangani peningkatan jumlah pesakit koronavirus.
Di Itali, memandangkan kes kematian di sana sudah semakin membimbangkan memandangkan ia telah melepas jumlah kes kematian di China dan menjadi nombor 1 di dunia, doktor sehinggakan terpaksa memilih siapa yang dapat menggunakan alat itu berdasarkan peluang pesakit untuk kekal hidup.
Harapnya, negara kita juga tidak akan mengalami keadaan seperti itu dengan keadaan wabak COVID-19 yang semakin meluas dan melibatkan lebih ramai individu.
Dengan adanya kebimbangan berkenaan kemudahan ventilator yang tidak mencukupi, syarikat pengeluar kereta di United Kingdom seperti Vauxhall dan Airbus kini merancang untuk mengeluarkan komponen-komponen yang diperlukan untuk membuat ventilator bagi membantu usaha kerajaan di sana dalam menangani kes pesakit COVID-19 di negara itu.
Malah, di negara kita, Hospital Selayang telah menerima sumbangan sebanyak RM160,000 untuk pembelian ventilator daripada syarikat Zurich Malaysia. Malaysia juga sedang berusaha untuk menggandakan jumlah ventilator COVID-19 secepatnya bagi menampung kes-kes COVID-19 yang serius. Dengan 800 unit ventilator yang telah dipesan, Malaysia dijangka akan mempunyai sekitar 1,726 unit secara keseluruhan.
Walaupun majoriti individu yang positif dengan penyakit COVID-19 hanya mengalami gejala ringan, kira-kira 6% daripada mereka memerlukan rawatan di hospital, yang mana pesakit lebih mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Menurut Prof David Story, Timbalan Pengarah Pusat Penyakit Kritikal Pusat Universiti Melbourne dan pakar bius kakitangan di Hospital Austin, wabak COVID-19 menjadi satu krisis kerana tanpa bantuan ventilator, pesakit akan mati.
Prof Sarath Ranganathan, Ahli Lembaga Yayasan Paru-paru Australia dan Pengarah Perubatan Pernafasan dan Tidur di Hospital The Royal Children’s Melbourne, berkata bahawa berdasarkan kejadian yang berlaku di Itali dan Sepanyol, dan pemodelan yang digunakan oleh ahli matematik di seluruh dunia, ini menunjukkan bahawa bilangan pesakit COVID-19 yang kritikal akan melebihi kapasiti sedia ada untuk menjaga mereka menggunakan sokongan pernafasan. Katanya lagi, “Tanpa akses kepada ventilator COVID-19 , banyak pesakit yang mungkin dapat bertahan akan mati.”
Apakah itu ventilator dan bagaimana ia berfungsi?
Ventilator mekanikal adalah mesin yang digunakan untuk menyokong pesakit dengan masalah pernafasan teruk yang memberi kesan kepada paru-paru, termasuk keradangan paru-paru atau pneumonia.
Sebelum pesakit memerlukan penggunaan ventilator COVID-19, kakitangan perubatan atau biasanya melibatkan pakar anestetik akan melakukan prosedur yang disebut sebagai intubasi.
Selepas pesakit diberikan sedatif serta penenang otot, satu tiub akan diletakkan di dalam mulut dan ke dalam saluran udara.
Ini biasanya merupakan prosedur biasa, namun dengan pesakit COVID-19, langkah berjaga-jaga yang melampau harus diambil oleh kakitangan perubatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus. Ada yang mungkin perlu memakai sut satu badan ketika melakukan prosedur ini.
Tiub pernafasan itu kemudian dilekatkan pada ventilator dan kakitangan perubatan boleh menyesuaikan kadar yang menolak masuk udara dan oksigen ke dalam paru-paru, dan menyesuaikan campuran oksigen.
Bilakah pesakit memerlukan penggunaan ventilator?
Sebelum memutuskan sama ada seseorang pesakit memerlukan ventilator COVID-19 atau tidak, doktor akan mengenal pasti tanda-tanda “kegagalan pernafasan” terlebih dahulu. Biasanya, ini ditentukan melalui kadar pernafasan yang meningkat, muka pesakit akan kelihatan sedih, kadar karbon dioksia dalam darah semakin tinggi dan mereka boleh diberi sedatif dan menjadi keliru.
Kadar pernafasan normal adalah sekitar 15 nafas seminit, tetapi jika kadar tersebut meningkat sehingga kira-kira 28 kali seminit, maka ini adalah isyarat bahawa pengudaraan mungkin diperlukan.
Sebelum menggunakan ventilator mekanikal, mungkin terdapat percubaan lain yang boleh dibuat untuk meningkatkan paras oksigen pesakit. Kaedah tidak invasif ini termasuklah menggunakan topeng dan tangki oksigen.
Sehingga kini, kakitangan perubatan masih sedang mencari cara untuk mengelakkan kaedah tidak invasif ini kerana pesakit masih boleh batuk dan bersin yang boleh meningkatkan risiko virus dipindahkan ke kakitangan perubatan.
Seberapa cepat pesakit dan berapa lama pesakit memerlukan ventilator?
Ventilator COVID-19 diperlukan sejurus sahaja doktor mengenal pasti bahawa pesakit itu sememangnya memerlukan bantuan pernafasan. Pesakit hanya dapat bertahan untuk jangka masa singkat jika menggunakan pengudaraan manual seperti penggunaan beg dan sistem topeng dengan oksigen. Tetapi, pemasangan ventilator biasanya perlu dipasang dalam masa 30 minit jika pesakit itu sudah kritikal.
Malah, keadaan mengancam nyawa dipanggil sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS) bleh berlaku kepada pesakit COVID-19 yang kritikal dan memerlukan ventilator COVID-19 untuk menyampaikan jumlah oksigen dan udara yang lebih kecil, tetapi pada kadar yang lebih tinggi. Ini mungkin bermakna bahawa seorang pesakit itu mungkin perlu memerlukan bantuan ventilator selama berminggu-minggu.
Bagi mengelakkan komplikasi daripada tiub pernafasan yang turun hingga ke bahagian kerongkong, prosedur trakeostomi dilakukan supaya tiub boleh terus ke dalam saluran pernafasan melalui leher. Pesakit boleh menjadi lebih terjaga dengan trakeostomi dan lubang tersebut akan sembuh secara sendiri.
Jika pesakit mengalami ARDS, mereka akan berada di unit penjagaan rapi selama berminggu-minggu dan boleh mati tanpa bantuan ventilator COVID-19 .
Mengapa kekurangan ventilator itu satu isu penting, dan apa yang sedang dilakukan untuk mengelakkannya?
Salah satu cara yang paling jelas untuk mengelakkan kekurangan ventilator adalah dengan mengurangkan bilangan individu yang menjangkiti virus ini. Ini bermakna semua individu haruslah mengikuti semua nasihat kesihatan, termasuklah peraturan menjarakkan diri dan menjaga kebersihan.
Di Australia, Persatuan Penjagaan Kesihatan dan Hospital Australia, Persatuan Rawatan Rapi Australia dan New Zealand serta menteri industri, Karen Andrews, telah menyatakan keyakinan mereka bahawa isu kekurangan ventilator COVID-19 ini dapat dielakkan.
Kerajaan Australia juga sedang menyiasat sama ada mesin pengudaraan ini yang digunakan pada haiwan di klinik veterinar boleh ditukar. Mesin apnea tidur dan mesin anestetik juga adalah satu pilihan lain yang ada. Ventilator COVID-19 yang digunakan dalam ambulans juga boleh digunakan sebagai bantuan tambahan.
Bagi rakyat Malaysia, semua langkah yang ditetapkan oleh kerajaan itu adalah sangat penting untuk menyelamatkan nyawa dengan membendung bilangan pesakit COVID-19 yang kritikal.
Pekerja penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab untuk menangani kes-kes yang mengancam nyawa seperti COVID-19 sekarang adalah sangat prihatin terhadap keupayaan mereka untuk menggunakan alat sokongan yang sesuai bagi sejumlah besar pesakit yang dijangka mengalami masalah kegagalan pernafasan.
Ini bermakna ramai yang tidak dapat dirawat dengan ventilator mekanikal dan keputusan yang sukar perlu dibuat oleh kakitangan, keluarga dan pesakit tentang had sokongan yang ada. Ini bukanlah satu hal yang mudah memandangkan ia melibatkan semua pihak, jadi bantuan daripada seluruh masyarakat amatlah digalakkan.
SUMBER
https://www.bbc.com/news/health-52036948
https://www.webmd.com/lung/news/20200415/ventilators-helping-or-harming-covid-19-patients#1
https://medicalxpress.com/news/2020-06-ventilators-covid-.html