KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menjelaskan video dan gambar yang memaparkan beberapa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdiri di tengah panas adalah situasi biasa dalam perbarisan statik.
Presidennya Datuk Sharuddin Omar berkata perbarisan itu dianjurkan PVATM sempena meraikan 100 tahun persatuan dan bukan majlis perjumpaan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seperti mana yang didakwa dalam video itu.
“Bagi ahli-ahli PVATM berpeluang menjadi sebahagian dari peserta perbarisan statik tersebut adalah satu kebanggaan dan penghormatan besar. Pemilihan peserta berdasarkan kepada beberapa kriteria termasuk kestabilan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sharuddin berkata gambar yang tular sejak Selasa memaparkan peserta makan di bawah pokok adalah peserta perbarisan daripada PVATM Kedah yang berehat di sekitar Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya sebelum waktu solat, majlis tahlil dan doa selamat.
“PVATM tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan undang-undang terhadap mereka yang menularkan komen serta kritikan negatif terhadap PVATM, sebagai langkah membendung supaya perkara itu tidak berulang,” katanya.
Rada Rabu tular di media sosial memaparkan beberapa veteran ATM berdiri di tengah panas dalam satu acara di Putrajaya pada Sabtu lepas.– BERNAMA