Ramai mengakui kesedapan ikan keli, walau bagaimanapun, cara menyiang ikan ini dianggap agak rumit serta melecehkan bagi sesetengah orang.
Ini kerana, jika tersilap langkah, ikan ini bakal meninggalkan bau hanyir yang mungkin meloyakan sekaligus tidak sedap untuk dimakan dan dijadikan lauk-pauk.
Dalam erti kata lainnya, apa yang membuatkan ikan keli menjadi hanyir adalah kerana darah beku yang terdapat di dalam bahagian tubuhnya. Darah beku itulah yang harus dicuci sebersih-bersihnya sebelum boleh memasaknya dan dimakan.
Bak kata orang, harga ikan keli ini boleh dianggap murah dan mudah untuk didapati di kawasan-kawasan kampung dek kerana habitatnya adalah di kawasan air tawar. Biarpun ia sukar disiang, ikan keli tetap mendapat tempat di hati para peminat makanan ala kampung.
Untuk itu, kami kongsikan cara paling ringkas sebagai rujukan buat semua, tentang bagaimanakah cara betul untuk membersihkan dan menyiang ikan keli di rumah.
Langkah 1
Bagi ikan yang disimpan di dalam peti ais, keluarkan dahulu dan rendam dalam air buat beberapa ketika. Jika masih hidup, boleh sembelih ikan tersebut secara rapi terlebih dahulu.
Langkah 2
Dengan menggunakan gunting dapur yang tajam, guntingkan bahagian muncung ikan berkenaan bagi membuang sesungut serta hujung mulut. Ini bagi memastikan ikan kelihatan bersih.
Langkah 3
Belah perut ikan secara menegak daripada bahagian bawah dagu ikan sehinggalah ke titik tengah pusat ikan keli tersebut. Jika kamu mahu memulakan belahan dari tengah pusat ikan seterusnya ditarik sehingga ke bahagian bawah dagu ikan pun boleh juga.
Ikutlah mana-mana keselesaan kamu, asalkan dengan menggunakan gunting dapur yang tajam.
Langkah ini penting untuk menghasilkan belahan ikan yang kemas bagi memudahkan pengeluaran sisa perutnya serta darah beku hanyir yang terkandung di dalam bahagian perut ikan.
Langkah 4
Sila buang dan tarik keluar segala sisa organ dalaman ikan sebersih mungkin. Cuci kesan darah yang ada pada bahagian dinding perut ikan.
Langkah 5
Seterusnya, tekan bahagian belahan perut ikan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari dengan rapi bagi memastikan sisa darah beku keluar secara menyeluruh.
Darah beku pada ikan keli akan habis keluar andai cara ini diaplikasikan dengan betul. Pastikan langkah ini dilakukan di kedua-dua belahan ikan (bahagian kiri dan kanan perut). Barulah, ikan akan bersih dan tidak berbau hanyir.
Darah beku dan sisa organ dalaman ikan keli yang sebenarnya berbau hanyir. Selalunya berwarna hitam pekat atau kekuningan. Pastikan kamu tarik keluar dan buangkannya.
Langkah 6
Cuci ikan yang telah dibuang organ dengan air seperti biasa, lalu bilas dengan rapi. Sebagai bonus, jika ada limau purut, limau nipis, atau lemon, boleh potong dan tenyehkan permukaan buah pada keseluruhan ikan untuk bau yang lebih segar.
Asid yang dihasilkan daripada perahan buah sitrus sebenarnya mampu menghilangkan bau hanyir ikan. Memang elok dijadikan bahan mencuci untuk makanan segar seperti ikan keli.
Rendaman Tepung Tanggalkan Lendir
Jika kamu memang suka memakan ikan keli, kamu pasti tahu badan ikan spesis ini adalah berlendir. Salah satu cara berkesan untuk membuang lendir pada badan ikan keli adalah dengan merendam ia di dalam bancuhan air tepung.
Bancuh sahaja beberapa sudu tepung gandum bersama air, lalu rendamkan ia untuk beberapa ketika. Cara ini sedikit sebanyak akan menanggalkan lendir pada ikan tersebut.
Untuk pengetahuan kamu lagi, cara rendaman tepung ini juga boleh dilakukan kepada ayam untuk menghilangkan bau hanyirnya.
Sekarang, bolehlah kamu memasak hidangan ikan kegemaran kamu dengan mudah di rumah! Ada pelbagai resepi hidangan berasaskan ikan keli untuk kamu cuba. Selain untuk digoreng, ikan keli juga sesuai untuk disalai yang lazimnya dijadikan hidangan bergulai.
Memang sedap.
Selamat mencuba semuanya!
SUMBER