Epstein-Barr adalah virus yang boleh menyebabkan keadaan mononukleosis. Anda mungkin mengenali penyakit ini dengan lebih baik melalui nama panggilannya iaitu ‘mono’. Ia juga dikenali sebagai “penyakit ciuman” kerana ciuman merupakan salah satu cara anda boleh menyebarkannya kepada orang lain.
Walaupun virus Epstein-Barr bukanlah nama yang anda sering dengari, anda mungkin dijangkiti virus ini tanpa anda sedari. Ramai individu yang dijangkiti virus ini tidak jatuh sakit.
Punca dan Faktor Risiko Jangkitan Virus Epstein-Barr
Penyebab jangkitan virus ini atau ‘mono’ adalah kerana jangkitan pada peredaran sel B iaitu virus Epstein-Barr serta tindak balas badan terhadap kehadiran virus. Faktor risiko virus Epstein-Barr termasuklah:
- Hubungan intim dengan rembesan badan (terutamanya cairan mulut tetapi termasuk juga cecair badan lain seperti yang terdapat dalam serviks dan air mani).
- Usia yang muda (kanak-kanak, remaja dan belia paling sering dijangkiti virus ini).
- Berkongsi barangan seperti perkakas makanan, mainan atau berus gigi.
- Pemindahan darah atau pemindahan organ, namun keadaan ini jarang berlaku.
Simptom Virus Epstein-Barr
Sebaik sahaja anda dijangkiti virus ini, gejalanya boleh mengambil masa 4 hingga 6 minggu sebelum dapat dikesan. Apabila individu sudah dijangkiti, gejala ringan selalunya akan muncul terutamanya pada kanak-kanak kecil. Gejala pada kanak-kanak adalah seperti selesema manakala golongan remaja biasanya mempunyai tanda-tanda ‘mono’ yang lebih jelas.
Gejala yang boleh anda dapat adalah seperti:
- Keletihan
- Demam
- Kurang selera makan
- Ruam
- Sakit tekak
- Kelenjar di leher yang bengkak
- Otot yang lemah dan sakit
Walaupun anda akan mula berasa lebih baik dalam masa 2 hingga 4 minggu, namun simptom keletihan akan dirasai lebih lama daripada itu. Anda mungkin akan masih berasa letih selama beberapa bulan kemudian.
Diagnosis Virus Epstein-Barr
Ianya sukar untuk mengetahui sama ada anda mempunyai mononukleosis hanya berdasarkan gejala yang anda alami. Demam, keletihan dan sakit tekak juga boleh menjadi tanda bagi penyakit lain seperti selesema.
- Pemeriksaan. Jumpa doktor anda dan lakukan pemeriksaan untuk mendapatkan kepastian tentang punca yang menyebabkan anda sakit. Doktor mungkin boleh mengenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan anda menghidap ‘mono’, seperti limpa iaitu organ di perut anda yang berfungsi untuk menapis darah, yang menjadi besar Selain itu, doktor anda juga akan membuat pemeriksaan untuk mengetahui sama ada anda mempunyai hati yang bengkak dan tompok-tompok putih pada tonsil anda.
- Ujian darah. Anda juga mungkin perlu mendapatkan beberapa ujian darah. Satu ujian akan dibuat untuk menguji antibodi, bahan-bahan sistem imun anda sebagai tindak balas kepada virus Epstein-Barr. Ujian lain pula untuk mencari sejenis sel darah putih yang digunakan oleh tubuh anda untuk melawan jangkitan virus Epstein-Barr ini.
Rawatan Virus Epstein-Barr
Seperti virus lain, virus Epstein-Barr tidak boleh dirawat dengan penggunaan antibiotik. Penyakit ‘mono’ akan hilang dengan sendirinya tanpa rawatan dalam beberapa minggu.
Apa Yang Boleh Anda Lakukan di Rumah
Walaupun ubat tidak dapat menyembuhkan jangkitan virus Epstein-Barr, anda boleh mengambil langkah-langkah ini di rumah untuk mengurangkan gejala anda seperti:
- Dapatkan rehat yang banyak.
- Minum banyak air dan cecair lain untuk kekalkan hidrasi anda.
- Menghisap pil atau ais pop, atau berkumur dengan air garam yang hangat, untuk melegakan rasa sakit tekak anda.
- Ambil ubat penahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen untuk menurunkan demam dan melegakan kesakitan pada badan. (Jangan berikan aspirin kepada kanak-kanak di bawah umur 19 tahun kerana risiko yang jarang berlaku tetapi serius dipanggil sindrom Reye).
Pastikan keadaan anda selesa semasa berada di tempat kerja atau sekolah, buat kerja secara perlahan-lahan sehingga anda merasa lebih baik. Elakkan bersukan, mengangkat barang berat atau aktiviti lain yang memerlukan banyak tenaga yang mana anda boleh mencederakan limpa anda selama sebulan atau lebih daripada itu.
Langkah Pencegahan Virus Epstein-Barr
Tiada vaksin yang boleh melindungi anda daripada virus ini. Cara terbaik untuk mengelak daripada dijangkitinya adalah dengan menjauhkan diri daripada sesiapa yang mempunyai penyakit ‘mono’ ini.
Jangan berkongsi sebarang barangan, termasuk cermin mata, alatan perak dan berus gigi dengan seseorang yang dijangkiti ‘mono’. Elakkan juga daripada mencium atau melakukan hubungan seks dengan orang yang dijangkiti ‘mono’.
SUMBER
https://www.webmd.com/a-to-z-guides/epstein-barr-virus
https://www.healthline.com/health/epstein-barr-virus
https://www.medicalnewstoday.com/articles/322117
https://medicalxpress.com/news/2018-04-epstein-barr-virus-linked-diseases.html