Ramai pihak berpendapat bahawa kita dikehendaki kuarantin diri COVID-19 sekiranya wabak semakin menular secara berterusan di seluruh negara. Doktor juga telah menerangkan mengenai maksud sebenar kuarantin diri, bagaimana ia berbeza dengan pengasingan diri dan apa yang perlu anda lakukan bagi mempersiapkan diri anda.
Justeru itu, pihak berkuasa mengarahkan segelintir individu bagi ‘mengkuarantin diri’ untuk membendung penularan wabak tersebut.
Setakat hari ini, kes positif COVID-19 di Malaysia telah mencecah sebanyak 1518 kes. Angka ini sangat membimbangkan dan pihak perubatan sedang bertungkus-lumus mengawal serta membendung penularannya daripada menjadi lebih buruk. Jadi, sesetengah individu digalakkan untuk menjalankan kuarantin diri dalam usaha mengurangkan pendedahan orang awam terhadap virus yang mengancam nyawa ini.
Di Malaysia, ramai individu dikehendaki mengkuarantin diri sendiri, di samping usaha pihak berkuasa yang masih mencari individu yang mempunyai hubungan dengan pesakit positif COVID-19.
Namun, apakah maksud sebenar kuarantin diri ini? Berikut merupakan apa yang perlu anda ketahui mengenai kuarantin diri atau self quarantine.
Kuarantin diri vs. Pengasingan diri:
1. Apakah perbezaannya?
Istilah kuarantin diri (self-quarantine) dikaitkan dengan individu yang tidak mempunyai simptom iaitu mereka yang dipercayai terdedah dengan penyakit berjangkit dan diarahkan untuk mengkuarantin diri sendiri. Ini perlu dilakukan bagi mngelakkan penularan wabak tersebut. Secara umumnya, mereka perlu berada di rumah masing-masing sehingga mereka disahkan tidak mempunyai sebarang penyakit. Sebagai contoh, anda perlu mengelakkan diri dari keluar ke kawasan awam atau tempat yang sesak dan tidak pergi ke tempat kerja.
Manakala, individu yang mengasingkan diri (self-isolation) pula telah menunjukkan simptom penyakit berjangkit tersebut. Pengasingan diri ini melibatkan seseorang individu mengehadkan hubungan dengan individu lain secara sukarela dalam tempoh tertentu untuk menghindari penularan jangkitan tersebut.
Walaupun ramai individu mengkuarantinkan diri atau mengasingkan diri secara sukarela, dalam sesetengah kes, perintah undang-undang kuarantin boleh dikeluarkan sekiranya anda tidak mengikuti arahan kuarantin atau pengasingan diri yang telah dikenakan kepada diri anda. Anda mungkin akan berada dalam masalah sekiranya anda meninggalkan rumah dan melanggar arahan itu, malah, anda boleh didenda atau dipenjara.
2. Siapakah yang perlu mengkuarantin diri sendiri?
Pelancong yang kembali ke negara Malaysia dari luar negara diarahkan untuk mengkuarantinkan diri selama tempoh 14 hari. Dalam hal yang lain, individu yang berhubung dengan individu yang telah disahkan positif COVID-19 juga perlu mengkuarantin diri mereka.
3. Bagaimanakah anda ingin mengkuarantin diri sendiri?
Pihak berkuasa dan perubatan mengesyorkan setiap individu untuk bersedia bagi menghadapi gelombang COVID-19 di negeri masing-masing. Sekiranya anda diarahkan untuk mengkuarantin diri, berikut adalah perkara yang harus anda ingat:
- Bolehkah saya meninggalkan rumah sewaktu kuarantin diri?
Penguatkuasa telah menetapkan panduan mengenai perkara ini, jadi pastikan anda melawati laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan anda mendapat maklumat yang sahih dan terkini mengenai segala arahan dan berita mengenai Covid-19. Secara amnya, kuarantin diri bererti anda perlu mengehadkan hubungan dengan individu lain, jadi anda perlu berada di rumah sahaja.
- Bagaimanakah sekiranya saya perlu pergi membeli barang dapur?
Anggaplah arahan kuarantin diri sebagai petanda bahawa anda perlu menyiapkan barang keperluan selama dua minggu. Carilah bahan-bahan yang disediakan dalam tin dan yang telah dipek, yang mempunyai jangka hayat yang lama, produk kebersihan asas, ubat-ubatan seperti Panadol dan ubat preskripsi. Sekiranya anda kehabisan bekalan sewaktu dalam kuarantin diri, ianya adalah lebih baik untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran bagi tujuan pembelian barang-barang dapur. Namun begitu, anda tidak seharusnya membeli barang keperluan secara berlebihan sehingga menyukarkan individu lain.
- Bagaimanakah sekiranya saya tinggal bersama individu lain?
Jangan risau, anda tidak perlu pindah! Walau bagaimanapun, anda disyorkan untuk berada dalam bilik anda sepanjang masa dan pakai topeng/ penutup muka sekiranya anda disahkan positif COVID-19. Selain itu, anda juga perlu mempunyai peralatan makan, cadar katil dan barang keperluan peribadi anda sendiri. Sebarang peralatan yang dikongsi dengan individu lain perlu dibasuh dengan sebaik mungkin menggunakan sabun dan air. Basuh tangan anda dengan betul dan kerap.
- Berapa lamakah kuarantin diri berlangsung?
Ia bergantung pada keadaan tertentu anda, sebagai contoh anda dianggap tergolong dalam golongan yang berisiko tinggi atau mempunyai hubungan langsung dengan seseorang yang telah disahkan positif COVID-19. Namun begitu, kebanyakan individu diarahkan berada di rumah selama 14 hari.
- Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya mula mengalami simptom COVID-19?
Semasa dalam tempoh kuarantin diri, anda juga perlu memantau keadaan kesihatan anda dengan mengambil bacaan suhu badan beberapa kali sehari. Simptom COVID-19 ini adalah berlainan daripada selesema atau demam biasa, kerana ia termasuklah hidung berair, sakit kepala, batuk, sakit tekak, demam dan kemerosotan kesihatan umum.
Sekiranya anda mempunyai simptom COVID-19, anda perlu mengasingkan diri, mengehadkan hubungan dengan individu lain dan dapatkan nasihat daripada pakar perubatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan sama ada anda perlu menjalani penilaian kesihatan atau tidak.
- Adakah saya akan diperiksa oleh sesiapa sewaktu kuarantin diri atau pengasingan diri?
Dalam sesetengah kes, pihak perubatan tempatan mungkin menghubungi anda melalui SMS, telefon atau konferensi video bagi memeriksa keadaan kesihatan anda dari semasa ke semasa.
Kesimpulannya,
Anda mungkin akan melihat lebih banyak kes kuarantin diri dan pengasingan diri di masa akan datang berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di Malaysia. Jangan panik, sebaliknya ikutilah arahan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
SUMBER
https://www.bbc.com/news/uk-51506729
https://www.healthdirect.gov.au/coronavirus-covid-19-self-isolation-faqs