Now Reading
Waktu Haram Solat: Wajib Umat Islam Ketahui

Waktu Haram Solat: Wajib Umat Islam Ketahui

waktu haram solat

Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, ibadah solat lima waktu sehari semalam wajib untuk anda lunaskan namun terdapat waktu haram solat juga yang wajib kita ketahui.

Malah, lebih baik dan sangat digalakkan untuk anda melakukan solat-solat sunat sebagai amalan tambahan untuk menutup ketidaksempurnaan solat fardhu yang anda lakukan.

Apakah maksud solat sunat?

Solat sunat disebut juga solat Nawafil atau Tatawwu’ iaitu solat yang dilakukan secara sukarela untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Orang yang mengerjakannya dengan ikhlas lebih dikasihi dan diberi lebih perhatian oleh Allah SWT berbanding orang yang hanya mengerjakan solat fardu semata-mata.

Pada zaman Rasulullah SAW, sahabat sangat cemburu melihat baginda banyak melakukan amalan sunat, maka mereka turut berlumba-lumba melakukannya.

Solat sunat mempunyai fadilat yang tersendiri namun hakikatnya disembunyikan oleh Allah SWT.

Daripada segi hukum pula, mengerjakan solat sunat adalah mendapat pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Biasanya solat sunat dilakukan sama ada secara berjemaah atau sendirian.

Enam solat sunat berjemaah:

  • Tarawih
  • Aidilfitri
  • Aidiadha
  • Mohon hujan (Istisqa’)
  • Gerhana matahari dan bulan
  • Witir

Berikut adalah 15 Solat sunat yang dilakukan sendirian:

  • Rawatib (mengiringi solat fardu)
  • Tahiyyatul Masjid
  • Tahajjud
  • Dhuha
  • Istikharah
  • Isyraq
  • Awwabin
  • Wuduk
  • Taubat
  • Hajat
  • Ihram
  • Tawaf
  • Musafir
  • Mutlak
  • Tasbih

Apakah kelebihan mengerjakan solat sunat?

Umumnya melakukan amalan solat sunat dapat menambah kesempurnaan dan menampung kekurangan solat fardu, meningkatkan keimanan dan mendekatkan dirinya dengan Allah.

Selain itu, ia juga membantu seseorang itu memperolehi ketenangan diri dan perasaan, juga sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah serta mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah.

Menurut hadis-hadis Rasulullah SAW, ada sembahyang sunat yang mempunyai keistimewaan tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjaran tetapi juga fadilat, hikmah dan faedahnya.

Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud ditengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah SWT.

Begitu juga mereka yang mengamalkan sembahyang sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya.

Bagi orang yang mengerjakan solat Tarawih di bulan Ramadhan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Selain itu, orang yang mengamalkan sembahyang sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan bergitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri.

Walaupun begitu, terdapat beberapa waktu yang tertentu yang diharamkan untuk anda lakukan ibadah solat.

Terdapat lima waktu yang diharamkan untuk bersolat:

  1. Selepas menunaikan solat Subuh sehingga terbit matahari.
  2. Ketika matahari terbit sehingga ia meninggi dengan kadar setombak: iaitu lebih kurang 4 darjah (12-15 minit selepas terbit matahari)
  3. Semasa matahari berada tegak di atas kepala dan sehingga gelincir matahari: kecuali pada hari Jumaat.
  4. Selepas menunaikan solat fardhu Asar sehingga terbenam matahari.
  5. Ketika timbul rona kekuningan atau kemerah-merahan di kaki langit sehingga matahari terbenam sepenuhnya.

Walaupun begitu, anda jangan salah faham. Tidak semua jenis solat adalah ditegah untuk dilakukan pada waktu tersebut. Jenis solat yang haram untuk anda lakukan pada waktu-waktu tersebut adalah: 

1. Solat yang tiada keperluan untuk dilakukan pada waktu itu, seperti solat sunat mutlak; contohnya solat sunat tasbih dan lain-lain solat yang tiada waktu yang khusus untuk dilakukan.

2. Solat-solat sunat yang mempunyai sebab yang terkemudian (sabab mutaakhir), seperti solat sunat istikharah, solat sunat ihram dan sebagainya. 

Manakala, jenis solat yang dibolehkan (harus) untuk anda lakukan pada waktu tersebut adalah:

1. Solat yang dilakukan mempunyai sebab yang terdahulu (sabab mutaqaddim), seperti solat qadha’, solat jenazah, solat nazar, solat tahiyyatul masjid dan lain-lain.

2. Solat yang sebab dilakukannya bersamaan atau seiringan dengan waktu itu seperti solat kusuf (gerhana).

Kesemua lima waktu haram solat ini dikecualikan bagi mereka yang berada di Tanah Haram, Makkah Al-Mukarramah. 

Ramai antara kita yang masih tidak sepenuhnya memahami soal waktu haram solat ini. Sebaiknya jika ada kemusykilan, anda bertanya kepada yang lebih arif.

Hikmah Larangan Solat Pada Waktu-Waktu Berkenaan    

Rahsia larangan mendirikan solat oleh syarak pada waktu-waktu berkenaan mempunyai hikmat yang tersendiri. terutamanya bagi mengelak daripada menyerupai penganut agama lain. Waktu ketika matahari terbit itulah, orang kafir beribadat menyembahnya.

1.  Menyerupai Para Penyembah Matahari

Di antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah سبحانه وتعالى ialah ibadat menyembah matahari. Ibadat tersebut dilakukan ketika matahari naik di awal pagi, ketika tengah hari matahari gelincir (zawal) dan ketika matahari jatuh ketika senja.

Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat para penyembah matahari, kecuali solat qadha dan solat yang bersebab.

2.  Menyerupai Orang Kafir Yang Menyembah Syaitan

Kita dikehendaki untuk memelihara waktu ketika beribadah dan syariat Islam melarang kita menyerupai orang kafir dalam beribadah. Oleh itu, ummat Islam dilarang melakukan solat sunat ketika matahari sedang terbit dan sedang terbenam. Ini disebabkan ketika matahari terbit dan tenggelam, ia berada di antara kedua-dua tanduk syaitan. Maksudnya, pada saat itu orang kafir menyembah matahari dan syaitan bersama mereka.

Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi ﷺ antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila  matahari tepat berada di tengah (waktu Istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah  melarang seseorang mengerjakan solat.” (Hadis riwayat An-Nasaie) 

3.  Neraka Jahannam Sedang Dinyalakan

Syariat Islam juga melarang kita melakukan solat sunat ketika matahari di tengah-tengah langit kerana waktu itu neraka Jahannam sedang marak dinyalakan. Disebabkan hari Jumaat merupakan penghulu hari dan hari perayaan mingguan ummat Islam, maka neraka Jahanam tidak dinyalakan. Dengan itu, syariat Islam membolehkan kita untuk mengerjakan solat sunat di waktu tersebut.

Rasulullah ﷺ bersabda: “Maka sesungguhnya neraka Jahannam dinyalakan pada waktu tengah hari (iaitu ketika matahari berada tepat di tengah-tengah langit).” (Hadis riwayat An-Nasaie).

Satu riwayat lagi: “Nabi  tidak suka mengerjakan solat sunat pada waktu tengah hari kecuali pada hari Jumaat dan Baginda  bersabda: “Sesungguhnya neraka Jahanam sedang dinyalakan pada waktu itu, kecuali hari Jumaat.”

Abu Daud menyatakan bahawa hadis kedua ini adalah Hadis Mursal, kerana di dalamnya terdapat Laits ibn Abu Sulaim, sedangkan dia seorang yang dhaif. Namun hadis ini dikuatkan oleh perbuatan sahabat Nabi ﷺ di mana mereka pernah mengerjakan solat sunat di waktu tengah hari pada hari Jumaat dan Nabi ﷺ menganjurkan supaya segera datang menghadiri solat Jumaat dan mendirikan solat sunat hingga imam naik ke atas mimbar tanpa ada pengecualian.

Semoga anda dapat memberitahu kepada sahabat yang mungkin tidak lagi mengetahui akan hal ini. Selamat beramal.

Sumber:

1) https://beanahomequran.com/waktu-haram-solat-yang-perlu-anda-tahu/

2) https://www.mstar.com.my/xpose/ad-din/2020/07/24/solat-sunat-sempurnakan-ibadat-tapi-ada-5-waktu-haram-menunaikannya

3) https://shafiqolbu.wordpress.com/2013/10/31/mengapa-ada-larangan-waktu-solat/

error: Content is protected !!