Kanser Payudara, satu penyakit yang cukup digeruni di kalangan para wanita dan boleh menyerang sesiapa sahaja di semua peringkat usia. Mari kita selusuri perjalanan hidup ‘bekas’ pesakit atau ‘survivor’ Kanser Payudara yang memberi inspirasi dengan pengalaman mereka mengatasi cabaran terhebat tersebut dalam hidup.
Jen Lim
Jen Lim merupakan salah seorang ‘survivor’ Kanser Payudara yang bersemangat waja. Beliau didiagnosis dengan Kanser Payudara pada bulan Oktober, tahun 2013. Jen mengakui, beliau tidak pernah menjalani saringan dan mengabaikan pemeriksaan kesihatan berkala kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan. Mujurlah, beliau berjaya mengesan Kanser tersebut di peringkat awal sewaktu sedang melihat ke dalam cermin dan menyedari terdapat lekukan di kawasan payudaranya.
Pada saat itu, ibunya secara automatik terlintas dalam fikirannya. Ibu Jen juga seorang ‘survivor’ Kanser Payudara selama 21 tahun. Jadi, beliau menerima diagnosis tersebut dengan fikiran yang positif.
Beliau mengambil cuti dari bekerja selama 6 bulan dan rutin harian dijalani dengan rawatan demi rawatan. Di rumah, ibunya telah menjaga Jen dengan penuh kasih-sayang tanpa mengira penat dan lelah. Malah, ahli keluarganya yang lain sentiasa melawat beliau di rumah dan memberi kata-kata semangat untuk terus positif dalam meneruskan kehidupan.
Tiga kitaran yang pertama semuanya seperti biasa, walaupun belaiu sering berasa loya. Ketika menjalani kemoterapi buat pertama kali, rambutnya sudah mula gugur dan botak setelah dua minggu berlalu. Perubahan badan itu terlalu drastik, bahkan kuku, bulu mata dan bulu hidung turut luruh secara tiba-tiba. Jen berasa sangat sedih apabila memikirkan tentang keadaan badannya itu. Namun, beliau masih positif dan tabah mengharungi ujian tersebut dan bersyukur dengan apa yang beliau miliki dalam hidup.
Kini, beliau berjaya mengatasi Kanser Payudara dan aktif menyertai kumpulan sokongan Kanser Payudara. Tahap kecergasannya juga semakin meningkat, dan beliau sering bersenam bersama bapanya serta menyertai ‘bootcamp’ sebanyak 2 kali seminggu. Kata-kata akhir daripada Jen bagi pesakit Kanser Payudara yang lain ialah, sertailah kumpulan sokongan Kanser Payudara kerana ia sangat membantu beliau kekal bermotivasi apabila mengetahui ramai lagi yang menghadapi perkara yang sama. Anda tidak berseorangan!
Hiba
Hiba berkongsi detik bersejarah dalam hidupnya ketika didiagnosis dengan Kanser Payudara. Perkara pertama yang bermain dalam fikirannya adalah ‘adakah ibu saya okay?’. Sebulan yang lalu, bapanya baru sahaja kembali bertemu Sang Pencipta, jadi Hiba ingin menjadi seorang yang kuat di hadapan ibunya.
Sewaktu menjalani kitaran pertama kemoterapi, beliau sering berasa loya dan hilang selera makan. Tidur merupakan rutin utama setiap 2 jam dan badannya begitu letih. Tidak lama selepas itu, rambutnya pula mula gugur dan ingatannya terjejas.
Perkara yang paling menyukarkan adalah beliau turut mengalami pengulangan jangkitan yis akibat kesan sampingan pengambilan ubat Tamoxifen dalam rutin perubatan harian. Tambah Hiba, beliau berpendapat bahawa setiap pesakit perlu tempoh untuk rehat di mana mereka boleh relaks.
Jadi, sebelum menjalani rawatan Herceptin, Hiba telah melancong ke beberapa negara Eropah seperti United Kingdom, Iceland dan Switzerland bagi memberi tumpuan terhadap dirinya sendiri. Kepulangan beliau dari luar negara disambut dengan berita gembira apabila beliau dilamar dan bertunang dengan kekasih hatinya.
Setiap hari, Hiba akan mengingatkan dirinya bahawa Kanser hanyalah satu liku-liku dalam perjalanan hidupnya, bukannya halangan yang kekal. Dalam menempuh perjalanan itu, beliau semakin rapat dengan kawan-kawan, malah bertemu dengan ramai kenalan baru, serta berjumpa dengan cinta hati hidupnya. Walaupun diuji dengan penyakit yang boleh mengancam nyawa, beliau sentiasa bersyukur atas semua kebaikan yang berlaku dalam hidupnya.
Sherry Lim
Survivor kanser payudara ini masih mengingati detik gembira yang berlaku pada tanggal 12 Ogos 2018, doktor telah menjalankan imbasan terhadapnya dan memberikan berita gembira bahawa beliau telah berjaya sembuh daripada Kanser Payudara tahap 4
Kini, berusia 64 tahun, Sherry bukan sahaja berjaya mengatasi 1 pertarungan terhadap Kanser, tetapi 2 pertarungan terhadap Kanser Payudara. Pada tahun 1994 sewaktu berumur 38 tahun, Sherry didiagnosis dengan Kanser Payudara tahap 3 apabila payudara kirinya berasa sangat sakit selama seminggu.
Lantaran itu, payudara kirinya telah dibuang berserta 11 nodus limfa berdekatan ketiak kanannya. Namun, setelah 12 tahun berlalu, Sherry kembali bertarung dengan Kanser Payudara tahap 4 pula.
Waktu itu, Lim tidak berdaya untuk meneruskan rutin hairan malah beliau tidak berupaya untuk mengangkat barang, minum air atau mandi. Selama berbulan-bulan selepas itu, Sherry menjalani kemoterapi dan radioterapi yang telah memberi kesan sampingan pembentukan tumor di payudaranya. Beliau sering menjerit di waktu malam akibat kesakitan bahkan meminta suaminya tidur di bilik tidur yang berasingan supaya perbuatan beliau tidak akan mengganggu suaminya.
Walau bagaimanapun, Sherry Lim masih berdegil dan tidak berputus asa. Beliau mendapat sokongan penuh daripada agama, suaminya dan anaknya. Jadi, apa yang beliau lakukan adalah menulis sebuah buku keagamaan berjudul ‘There is Hope’, walaupun beliau sedang menjalani rawatan. Buku tersebut merupakan diari peribadi perjalanan hidupnya menjalani Kanser Payudara.
Apabila ditanya mengenai pengalamannya menghidap Kanser Payudara, beliau menjelaskan bahawa ia merupakan satu pengalaman yang telah merubah hidupnya sebanyak 360 darjah. Sejak itu, beliau menjalani gaya hidup sihat dengan cara mengehadkan pemakanannya kepada jenis-jenis makanan tertentu.
SUMBER
https://ashbenimble.com/breast-cancer-survivor-bootcamper-jen-lim/
https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/2008/10/12/healing-in-giving