Xanthelasma adalah tompokan berlemak yang lembut, berwarna kekuningan dan terbentuk di bawah kulit anda. Sekiranya anda mempunyai tompok kuning di sudut dalam kelopak mata atau di sekitar mata anda, anda mungkin mempunyai keadaan yang dikenali sebagai ‘xanthelasma palpebrarum (XP)’.
Ia tidak berbahaya, tetapi dalam kes yang jarang berlaku, ini mungkin merupakan simptom bagi penyakit jantung. Itulah sebabnya mengapa anda perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor atau berjumpa dengan pakar dermatologi anda.
Punca Xanthelasma
Kira-kira separuh individu dengan keadaan xanthelasma mempunyai kadar kolesterol tinggi. Anda lebih cenderung mendapat pertumbuhan ini jika anda mempunyai:
- Kolesterol LDL (“tidak baik”) yang tinggi atau kolesterol HDL (“baik”) yang rendah.
- Mewarisi kadar kolesterol tinggi (doktor anda mungkin memanggilnya sebagai hiperkolesterolemia keturunan).
- Penyakit hati iaitu primary biliary cirrhosis, yang dapat meningkatkan kadar kolesterol.
Hal ini sering berlaku di kalangan individu berketurunan Asia atau Mediterranean.
Diagnosis Xanthelasma
Doktor anda dapat mendiagnosis XP dengan memeriksa kulit di sekitar mata anda secara berdepan. Malah, anda mungkin perlu menjalani ujian profil lipid untuk melihat sekiranya tahap lipid anda menyumbang kepada gejala yang berlaku.
Untuk menguji tahap lipid anda, doktor akan melakukan pengambilan darah dan kemudian menghantar darah ke makmal untuk diuji. Dalam kebanyakan kes, anda biasanya akan mendapat keputusan dalam tempoh seminggu.
Faktor Risiko Xanthelasma
Sesiapa sahaja boleh menghidap xanthelasma, tetapi anda lebih berisiko jika anda:
- adalah seorang wanita
- berumur antara 30 hingga 50 tahun
- berketurunan Asia atau Mediterranean
- seorang perokok
- obes
- mempunyai tekanan darah tinggi
- menghidap diabetes
- tahap lipid (lemak dalam darah anda, termasuk kolesterol) tinggi secara tidak normal
Rawatan Xanthelasma
Tpmpokan yang terhasil mungkin tidak akan hilang dengan sendirinya. Mereka akan kekal dengan saiz yang sama atau bertambah dari masa ke masa.
Sekiranya anda bimbang tentang penampilan anda, anda boleh membuangnya. Doktor boleh melakukannya dengan salah satu kaedah berikut:
- Memperlahankan pertumbuhan dengan penggunaan ubat
- Membekukannya dengan suhu yang tinggi (pembedahan cryosurger)
- Membuangnya menggunakan laser
- Menjalani pembedahan
- Merawatnya dengan jarum elektrik (electrodesiccation)
Rawatan ini berfungsi dengan baik, tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
- Parut
- Perubahan warna kulit
- Kelopak mata yang terbalik
Pertumbuhan ini juga mungkin berulang, terutamanya jika anda mewarisi kadar kolesterol tinggi.
– Menguruskan tahap kolesterol anda
Menurunkan kadar kolesterol anda juga dapat membantu merawat xanthelasma. Bagi sesetengah orang, perubahan pada diet dan pilihan gaya hidup mungkin sudah cukup untuk menguruskan kadar kolesterol.
Cara untuk menurunkan kolesterol anda adalah dengan:
- elakkan merokok dan hadkan pengambilan arak
- mengekalkan berat badan yang sihat
- bersenam sekurang-kurangnya 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu
- hadkan pengambilan lemak tepu yang terdapat dalam makanan seperti mentega
Doktor anda mungkin perlu mempreskripsikan statin atau ubat lain untuk membantu menurunkan kolesterol anda. Terdapat juga beberapa ubat semula jadi yang mungkin berfungsi, tetapi berbincanglah dengan doktor anda sebelum menggunakan suplemen atau rawatan alternatif untuk kolesterol.
SUMBER