Pengenalan
Xyzal (levocetirizine) adalah antihistamin yang mengurangkan kesan histamin kimia semula jadi dalam badan. Histamin boleh menghasilkan simptom seperti hidung berair atau gegata (urticarial).
Kegunaan Xyzal
Xyzal (levocetirizine) adalah antihistamin yang digunakan untuk melegakan simptom alergi seperti mata berair, hidung berair, mata / hidung gatal dan bersin.
Ia juga digunakan untuk menghilangkan rasa kegatalan atau alahan. Xyzal berfungsi dengan menyekat zat semula jadi tertentu (histamin) yang diproses oleh badan semasa reaksi alergi berlaku.
Cara menggunakan Xyzal
Sekiranya anda mengambil produk daripada kaunter farmasi untuk rawatan kendiri, baca dan ikuti semua arahan pada pakej produk sebelum mengambilnya.
Jika terdapat sebarang pertanyaan, bertanyalah dengan ahli farmasi anda. Jika doktor anda menetapkan ubat ini, ambil seperti yang diarahkan.
Ubat ini dimakan dengan atau tanpa makanan, biasanya sekali sehari pada waktu petang.
Langkah berjaga-jaga & Amaran Penggunaan Xyzal
Sebelum mengambil Xyzal (levocetirizine), beritahu doktor atau ahli farmasi anda jika anda alah padanya, atau pada cetirizine, hidroksizin ataupun jika anda mempunyai alahan lain.
Produk ini mungkin mengandungi bahan tidak aktif yang boleh menyebabkan reaksi alergi atau masalah lain. Bertanyalah pada ahli farmasi anda untuk maklumat lebih lanjut.
Sebelum menggunakan ubat ini, beritahu doktor atau ahli farmasi mengenai sejarah perubatan anda, terutamanya mengenai kesukaran membuang air kecil (disebabkan prostat yang membesar), atau penyakit buah pinggang.
Amaran: Ubat ini boleh menyebabkan rasa letih yang teruk.
Jangan memandu, menggunakan peralatan atau mesin berbahaya, atau melakukan aktiviti berbahaya yang lain sehinggalah anda mengetahui bagaimana ubat ini akan mempengaruhi anda.
Selain itu, jangan minum alkohol atau ubatan lain yang boleh menyebabkan anda berasa letih. Ia boleh menyebabkan rasa letih itu bertambah teruk.
Kesan Sampingan Xyzal
Mengantuk, letih dan mulut kering mungkin berlaku. Demam atau batuk juga boleh berlaku, terutama pada kanak-kanak.
Sekiranya kesan ini berlanjutan atau bertambah buruk, beritahu doktor atau ahli farmasi anda dengan segera.
Jika doktor telah mengarahkan anda untuk menggunakan ubat ini, ketahuilah bahawa dia telah menilai faedah ubat ini untuk anda lebih daripada risiko dan kesan sampingannya.
Ramai orang yang menggunakan ubat ini tidak mempunyai kesan sampingan yang serius. Beritahu doktor dengan segera jika anda mempunyai kesan sampingan yang serius, termasuklah kesukaran membuang air kecil. Reaksi alahan yang sangat serius terhadap ubat ini juga jarang berlaku.
Walau bagaimanapun, dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda melihat gejala reaksi alergi yang serius, termasuklah ruam, gatal / bengkak (terutama pada muka / lidah / tekak), pening yang teruk, serta kesukaran bernafas.
Ini bukanlah senarai lengkap kesan sampingan yang boleh berlaku. Sekiranya anda melihat kesan lain yang tidak disenaraikan di atas, hubungi doktor atau ahli farmasi anda.
Kontraindikasi Xyzal
Penggunaan Xyzal dikontraindikasikan dalam:
1. Pesakit dengan hipersensitiviti yang diketahui
Pesakit yang telah diketahui menghidap hipersensitiviti terhadap Xyzal (levocetirizine) atau mana-mana ramuan Xyzal, atau cetirizine. Reaksi yang perlu diperhatikan adalah seperti gegata hinggalah anafilaksis.
2. Pesakit dengan penyakit buah pinggang tahap akhir
Pesakit dengan penyakit buah pinggang tahap akhir (CLCR <10 mL / min) dan pesakit yang menjalani hemodialisis.
3. Pesakit pediatrik dengan masalah fungsi renal
Kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 11 tahun dengan gangguan fungsi buah pinggang.
Interaksi Xyzal
Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat berfungsi atau meningkatkan risiko anda mendapat kesan sampingan yang serius. Artikel ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi ubat yang boleh terjadi.
Simpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat-ubatan preskripsi / bukan preskripsi dan produk herba) dan kongsikan kepada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mula, henti atau ubah dos ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor anda.
Beritahu doktor atau ahli farmasi anda jika anda mengambil produk lain yang menyebabkan rasa mengantuk seperti ubat sakit opioid atau ubat batuk, alkohol, ganja, ubat untuk tidur atau kegelisahan, penenang otot atau antihistamin yang lain.
Periksa label pada semua ubat anda (seperti ubat alergi atau batuk dan selesema) kerana ia mungkin mengandungi bahan yang menyebabkan rasa mengantuk. Bertanyakan pada ahli farmasi anda mengenai cara penggunaan produk dengan selamat.
Jangan gunakannya bersama antihistamin yang lain yang digunakan pada kulit (seperti krim diphenhydramine, salap atau semburan) kerana kesan sampingannya mungkin meningkat.
Xyzal (levocetirizine) sangat serupa dengan hidroksizin dan cetirizine. Jangan gunakan ubatan ini semasa menggunakan Xyzal (levocetirizine).
Selain itu, ubat ini juga boleh mengganggu ujian makmal tertentu (termasuk ujian kulit alergi), yang mungkin menyebabkan keputusan ujian palsu. Jadi, pastikan kakitangan makmal dan semua doktor mengetahui bahawa anda menggunakan ubat ini.
Dos Xyzal
Xyzal boleh didapati dalam larutan oral 2.5 mg / 5 mL (0.5 mg / mL) dan sebagai tablet yang boleh dipecahkan (skor) 5 mg, bagi membolehkan penggunaan 2.5 mg, jika diperlukan.
Ia boleh diambil tanpa mengambil kira pengambilan makanan.
– Selesema alergi kekal
Kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 2 Tahun
Dos awal Xyzal yang disyorkan ialah 1.25 mg (1/2 sudu teh larutan oral) (2.5 mL) sekali sehari pada waktu petang. Dos 1.25 mg sekali sehari tidak boleh ditingkatkan berbanding orang dewasa yang menerima 5 mg.
– Urtikaria idiopatik kronik
Dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas
Dos Xyzal yang disyorkan ialah 5 mg (1 tablet atau 2 sudu teh [10 mL] larutan oral) sekali sehari pada waktu petang. Sebilangan pesakit boleh dikawal secukupnya dengan 2.5 mg (1/2 tablet atau 1 sudu teh [5 mL] larutan oral) sekali sehari pada waktu petang.
Kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun
Dos Xyzal yang disyorkan ialah 2.5 mg (1/2 tablet atau 1 sudu teh [5 mL] larutan oral) sekali sehari pada waktu petang. Dos 2.5 mg tidak boleh berlebihan daripada dos orang dewasa iaitu 5 mg.
Kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 5 tahun
Dos awal Xyzal yang disyorkan ialah 1.25 mg (1/2 sudu teh larutan oral) (2.5 mL) sekali sehari pada waktu petang. Dos ini tidak boleh berlebihan berbanding orang dewasa yang menerima 5 mg.
Sekiranya anda menggunakan bentuk cecair, ukur dos dengan teliti menggunakan alat / sudu pengukur khas. Jangan gunakan sudu makan kerana anda mungkin tidak mendapatkan bacaan dos yang betul.
Dos yang ditetapkan bergantung pada usia, keadaan perubatan dan tindak balas anda terhadap rawatan. Jangan tingkatkan dos atau mengambil ubat ini lebih kerap daripada yang diarahkan.
Sekiranya keadaan anda tidak bertambah baik atau bertambah buruk, atau jika anda berfikir bahawa anda menghadapi masalah perubatan yang serius, segera dapatkan bantuan perubatan.
Sumber: