Now Reading
Zaini Salai House, Kedai Makan Popular Negeri Sembilan.

Zaini Salai House, Kedai Makan Popular Negeri Sembilan.

Zaini Salai House

Zaini Salai House, Kedai Makan Popular Negeri Sembilan ~ Dengan niat untuk mengekalkan makanan tradisi Negeri Sembilan agar tidak lapuk dek hujan tenggelam dek panas, Zaini Salai House kini telah mendapat tempat istimewa di hati para pengunjungnya samada dari luar mahupun negeri itu sendiri. 

Terletak di Kuala Pilah dan tidak jauh dari air terjun Ulu Bendul, Zaini Salai House menduduki tempat teratas pilihan kedai makan yang paling popular dan wajib dikunjungi sekiranya anda berkunjung ke Negeri Sembilan. Mempunyai lot parking yang luas, kedai ini menjanjikan keselesaan buat pengunjungnya. 

Walaupun terdapat deretan kedai salai yang menjual ayam, itik , ikan dan sebagainya di sepanjang jalan Seremban menuju ke Kuala Pilah, Zaini Salai House tetap menjadi antara pilihan utama bagi penduduk sekitar atau sesiapa yang ingin mencubanya buat kali pertama. Pada hari biasa (bukan PKP), Zaini Salai House beroperasi dari pukul 10 pagi sehingga 5.30 petang selama seminggu kecuali pada hari rabu (cuti). 

Kedai makan popular ini dimiliki oleh Zaini Saad, terletak di Kampung Ulu Bendul, Tanjong Ipoh dan telah beroperasi lebih daripada 7 tahun pada tahun ini (2021). Niat asal pemilik membuka kedai makan ini adalah untuk mengekalkan makanan warisan negerinya dan akhirnya membuka pintu rezeki buat dirinya sekeluarga.  

Belajar memasak daripada ibu mertua dan orang kampung, Zaini Saad sentiasa memastikan makanan di restorannya mengekalkan ciri-ciri masakan kampung tanpa diubah resipinya bagi mengekalkan keaslian masakan Negeri Sembilan.

Menu yang terdapat di Zaini Salai House adalah bertemakan masak lemak bersama pilihan lauk yang di salai. Menu seperti gulai ayam kampung, gulai daging, ikan keli dan rendang itik, pun semuanya disalai terlebih dahulu.

Antara rahsia mempunyai rasa yang konsisten sedap, pucuk pegaga di masak sekali bersama ayam kampung, itik salai dan burung puyuh. Menarik bukan?

Berikut ialah antara menu yang menjadi pilihan dan digemari ramai. Ok, jom tengok satu persatu. 

  1. MASAK LEMAK DAGING SALAI (RM 15.00- RM 20.00++)*

Masak lemak daging salai ini dihidang sekali dengan rebung atau pucuk ubi atau terung telunjuk untuk melengkapkan hidangan ini.

  1. MASAK LEMAK ITIK (RM 5.00++)*

Ini merupakan antara menu top yang diorder oleh pelanggan yang berkunjung ke sini selain daripada masak lemak daging salai.

  1. MASAK LEMAK AYAM KAMPUNG (RM 5.00++)*

Ayam yang digunakan ialah ayam kampung untuk membangkitkan lagi rasa masak lemak tersebut.

  1. MASAK LEMAK PUYUH DAUN PUDING (RM 7.00++)*

Burung puyuh juga merupakan salah satu lauk masak lemak yang ada di kedai makan ini.

  1. MASAK LEMAK TELUR ITIK PUCUK UBI (RM 3.00++)*

Selain ayam, itik, dan daging, telur itik juga merupakan antara menu pilihan yang terdapat di sini.

  1. RENDANG ITIK (RM 5.00++)*

Walaupun bukan dimasak lemak, namun daging itik tetap disalai terlebih dahulu sebelum dimasak rendang. 

Selain itu, terdapat juga menu-menu lain seperti perut masak lemak, ketam masak lemak, dan banyak lagi. Terdapat juga menu yang dijual mengikut kilogram/ekor seperti daging salai 1 kg, itik satu ekor dan sebagainya. 

**harga adalah bukan harga yang terkini.

Kenapa Anda Harus Singgah Ke Zaini Salai House?

  1. Makanan yang sedap dan mempunyai rasa asli Negeri Sembilan.
  2. Parking lot yang banyak dan selesa.
  3. Harga makanan yang berpatutan dan kuantiti yang mengenyangkan.
  4. Servis yang cekap daripada pekerja kedai.
  5. Lokasi yang mudah dijumpai dan diakses oleh orang ramai. 

Kesimpulan

Anda perlu memasukkan Zaini Salai House dalam senarai tempat food hunters anda sekiranya berkunjung ke Negeri Sembilan untuk merasai kenikmatan masak lemak yang pedas dan asli rasanya. 

Kesungguhan pemilik kedai dalam mengekalkan makanan tradisi negerinya tanpa mengira keuntungungan semata-mata perlu dicontohi agar warisan setiap bangsa dan kaum tetap terpelihara.  Semoga dengan perkongsian ini anda dapat idea untuk singgah menjamu selera di mana ketika berada di Negeri Sembilan khususnya. 

Sumber:

http://puanhazel.blogspot.com/2019/03/zaini-salai-house-kuala-pilah.html

https://www.jalanjalancarimakan.com.my/restaurant/zaini-salai-house-5441

https://malaysiagazette.com/2018/10/27/zaini-salai-house-kekalkan-citarasa-negeri-sembilan/

error: Content is protected !!